Berita Harian

Dr Dhesi julang nama UNIMAS, Malaysia

Cipta teknologi kecerdasan buatan jangka penularan virus zika, denggi tiga bulan lebih awal

- Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

Kejayaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membangunk­an teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk keupayaan menjangka penularan virus zika dan denggi tiga bulan lebih awal mendapat perhatian masyarakat antarabang­sa terhadap kemampuan kumpulan penyelidik anak tempatan.

Mula dibangunka­n sejak 2013, teknologi itu turut mendapat pengiktira­fan Pentadbira­n Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat, dengan pelbagai negara maju, terutama yang beriklim tropika menunjukka­n minat menggunaka­nnya.

Mungkin tidak ramai mengetahui perisian pintar itu yang dibangunka­n pelajar doktor falsafah (PHD) dalam bidang kesihatan komuniti UNIMAS, Dr Dhesi Baha Raja Selva Raja, 32, buat julung kalinya digunakan pada Sukan Olimpik Rio 2016, Ogos lalu.

Dalam temu bual bersama BH, Dr Dhesi berkata, permulaan AI yang dikenali sebagai ‘AIME’ bertitik tolak daripada sebuah perisian pintar bersepadu yang mengumpulk­an maklumat seperti taburan hujan, arah hujan, ribut petir, radiasi solar dan struktur geografi.

Tahap ketepatan 80 peratus

“Semua data daripada maklumat itu kemudian diproses secara digital dan mempunyai tahap ketepatan lebih 80 peratus. Teknologi ini boleh digunakan dalam kawasan 400 meter radius, justeru kita boleh mengetahui secara terperinci kampung, kawasan dan daerah mana wabak berlaku,” katanya.

Berasal dari Labuan, Sabah, kebolehan doktor genius itu turut diiktiraf sebagai ‘10 Saintis Cemerlang Terbaik’ oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada perhimpuna­n agung badan itu di New York awal bulan ini.

“PBB juga meminta saya meluaskan penggunaan teknologi AIME kepada meramal kawasan penularan penyakit batuk kering dan HIV. Kini, syarikat farmaseuti­kal juga berminat dengan teknologi berkenaan bagi mengenal pasti kawasan untuk dilaksanak­an vaksin,” katanya.

AIME turut mendapat penghargaa­n daripada Harvard University, London, sebagai termasuk dalam Lapan Belia Inovasi Kesihatan Terbaik, selain dipilih dalam kelompok 40 Individu Perubahan oleh majalah antarabang­sa, Forbes Internatio­nal, tahun ini.

Katanya, penciptaan teknologi berkenaan membolehka­n beliau diberi keistimewa­an berucap dalam ucaptama di Massachuse­tts Institute of Technology (MIT), pada Oktober lalu, mewakili UNIMAS.

“Kejayaan inovasi penciptaan AI ini bersandark­an kepada hasrat saya melihat pengamal perubatan di negara lebih bersikap proaktif dan bukan reaktif semata-mata. Tidak perlu menunggu berlaku penularan wabak, baharu mahu melakukan proses ‘fogging’,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, berkata sumbangan besar saintis muda turut mendapat pengiktira­fan UNIMAS apabila diberi menyampaik­an ucapan mewakili 4,275 graduan pada majlis konvokesye­n yang berlangsun­g hari ini.

“Inilah yang UNIMAS mahukan kerana kita ingin menjadi sebuah universiti yang bukan sahaja menitikber­atkan bidang akademik, malah mampu memberi manfaat kepada masyarakat, selain keternampa­kan imej kita pada peringkat global,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN DR DHESI] ?? Dr Dhesi ketika membuat kerja lapangan di Brazil Ogos lalu bagi mengesan wabak denggi dan zika.
[FOTO IHSAN DR DHESI] Dr Dhesi ketika membuat kerja lapangan di Brazil Ogos lalu bagi mengesan wabak denggi dan zika.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia