Berita Harian

Gajah jantan rosak tanaman ditangkap

‘Cher’ ditembak guna ubat pelali ketika keluar cari makanan

- Oleh D J Dolasoh

Dua hari selepas seorang pekebun hancur tangan akibat letupan mercun bola ketika menghalau seekor gajah yang merosakkan tanamannya di Kampung Ulu Jepai, Gelok di sini, haiwan berkenaan ditahan dalam hutan kira-kira lima kilometer dari kampung itu, kelmarin.

Gajah jantan berusia 50 tahun itu ditangkap pada jam 9 pagi oleh kakitangan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak, ketika mencari makanan di kawasan hutan di Gua Tok Giring, Kampung Ulu Lenggong.

Pengarah Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Noor Alif Wira Osman, berkata gajah yang mempunyai tapak kaki selebar 44 sentimeter dan tiada gading, berjaya ditangkap selepas ditembak menggunaka­n ubat pelali kerana dikhuatiri agresif.

Katanya, haiwan itu dirantai kaki pada pokok di Ulu Lenggong sebelum dipindahka­n ke habitat asal di Hutan Royal Belum dalam tempoh beberapa hari lagi dengan menggunaka­n gajah denak dari Kuala Gandah, Pahang.

Harap penduduk tak beri makanan

“Kami berharap penduduk tidak mendekati gajah itu atau memberinya makanan kerana kami menjaganya, termasuk memberi makanan dan memandikan­nya setiap hari,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.30 pagi Khamis lalu, Mohd Azmi Sharif, 60, cuba membaling mercun bola ke arah gajah itu tetapi meletup yang menyebabka­n tangan kanannya hancur.

Dia dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping (HT) untuk rawatan lanjut.

Keluar cari makanan

Noor Alif berkata, gajah itu yang diberi nama ‘Cher’, dipercayai keluar dari kumpulan untuk mencari makanan bersendiri­an sehingga memasuki kawasan berhampira­n kediaman penduduk di Kampung Ulu Jepai, Gelok di sini.

“Kami percaya masih ada antara empat hingga lima ekor gajah liar di Hutan Simpan Bintang Hijau yang berhampira­n beberapa kampung,” katanya.

 ?? [FOTO DJ DOLASOH/BH] ?? ‘Cher’ ditangkap pada jam 9 pagi oleh kakitangan UTG Perak makanan di kawasan hutan di Gua Tok Giring, Kampung Ulu Lenggong. ketika mencari
[FOTO DJ DOLASOH/BH] ‘Cher’ ditangkap pada jam 9 pagi oleh kakitangan UTG Perak makanan di kawasan hutan di Gua Tok Giring, Kampung Ulu Lenggong. ketika mencari

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia