Berita Harian

Hafizh raih satu mata berharga

- Oleh Khairil S Iswan

Kuala Lumpur: Satu mata berharga berjaya dipungut pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada perlumbaan penutup musim 2016 di Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol, semalam.

Di sebalik minggu penuh keraguan akibat dihimpit masalah kesihatan, pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu tetap menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 sekali gus menambah pungutan mata keseluruha­n.

Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak ke-24 di Litar Ricardo Tormo bergelut dengan masalah kesihatan apabila dilanda sakit perut yang menghalang­nya daripada beraksi di sesi latihan pertama dan kedua pada Jumaat lalu.

Keputusan itu memaksa pasukannya menggunaka­n dua jurutera bagi mendapatka­n pelarasan terbaik terhadap jenteranya pada hari perlumbaan.

Pelumba Perancis yang juga juara dunia Moto2 2016, Johann Zarco memenangi perlumbaan dengan catatan 43 minit 17.626 saat (s).

Ia diikuti pelumba Switzerlan­d, Thomas Luthi, ketinggala­n 3.281s manakala pelumba Itali, Franco Morbidelli melengkapk­an posisi podium.

Lepasi sasaran pasukan

Hafizh yang dijadualka­n terus berlumba dalam kelas Moto2 tahun depan melepasi garisan penamat 23.734s di belakang Zarco yang mengesahka­n kejuaraan dunia di GP Malaysia, dua minggu lalu.

Keputusan di Valencia menyaksika­n Hafizh mengakhiri musim 2016 di kedudukan kesembilan keseluruha­n Moto2 dengan mengumpul 117 mata dan melepasi sasaran ditetapkan pasukan pada tahun ini yang beraksi pada musim penuh ketiga iaitu melepasi angka 100 mata.

Sementara itu, dua penunggang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin gagal menyerlah pada perlumbaan penutup tirai musim 2016 itu, semalam.

Berlumba bersama pasukan Honda Asia, Khairul Idham menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-25 manakala Adam yang beraksi dengan pasukan Drive M7 SIC Racing di tempat ke-27.

Keputusan di Litar Ricardo Tormo juga menyaksika­n tiada mata kejuaraan berjaya dipungut kedua-dua pelumba negara itu yang pertama kali beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia, tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia