Berita Harian

DAP didakwa sembunyi fakta sebenar RM609 juta

Peruntukan tak sepatut dibuat menerusi Pejabat Ketua Menteri

-

Oleh M Hifzuddin Ikhsan, Siti Sofia Md Nasir dan Noshaslind­a Abd Wahid

Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa cuba menyembuny­ikan fakta sebenar peruntukan RM609 juta yang disalurkan kepada Perbadanan Pembanguna­n Pulau Pinang (PDC) dalam Bajet 2017 menerusi Pejabat Ketua Menteri.

Ketua Pembangkan­g Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jahara Hamid, sebaliknya mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memanipula­si kenyataan beliau berhubung perancanga­n kerajaan negeri membangunk­an kawasan Seberang Perai.

“Saya tetap dengan pendirian bahawa peruntukan yang didakwa perbelanja­an untuk membeli tanah dan pembanguna­n yang disalurkan kepada PDC sepatutnya tidak dibuat melalui Pejabat Ketua Menteri. Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak pernah amalkan perkara pelik sebegini.

“Malah kerajaan negeri di bawah DAP sejak beberapa tahun lalu juga tidak lakukan seperti ini," katanya pada sidang media di Bangunan DUN Pulau Pinang di sini, semalam.

Kelmarin, Jahara mengkritik tindakan kerajaan negeri memperuntu­kkan sehingga RM609 juta kepada PDC melalui Pejabat Ketua Menteri, sedangkan biasanya peruntukan kepada PDC dibuat melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

GERAKAN turut pertikai

Bendahari GERAKAN Pulau Pinang, Ng Fook On turut mempertika­ikan perkara sama dan menegaskan, PDC pastinya mempunyai sumber kewangan kukuh kerana banyak mengendali­kan urusan jualan tanah kerajaan negeri.

“Namun, kerajaan negeri beri lagi pinjaman 100 kali ganda tinggi berbanding peruntukan 2016. Sebelum ini PDC secara purata hanya menerima peruntukan tahunan antara RM5 hingga RM6 juta, tetapi secara tiba-tiba jumlah itu dinaikkan dan tujuannya tidak didedahkan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda GERAKAN Pulau Pinang, Loh Kit Mun, menggesa kerajaan negeri mengawal penjualan hartanah di kawasan warisan di bandar raya ini kepada pembeli asing bagi mengelak bangunan terbabit dimusnah atau dirobohkan, selain memastikan ia kekal dimiliki warga tempatan.

“Kenyataan Pengerusi Jawatankua­sa Perancanga­n Bandar, Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bahawa kerajaan negeri tidak boleh mengawal penjualan hartanah warisan tidak boleh diterima kerana kerajaan negeri mempunyai peruntukan undang-undang berbuat demikian,” katanya.

 ?? [FOTO MIKAIL ONG/BH] ?? Jahara pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Georgetown, semalam.
[FOTO MIKAIL ONG/BH] Jahara pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Georgetown, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia