Berita Harian

Tindakan senarai hitam pengguna secara salah

SKMM campur tangan elak pengguna teraniaya

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Suruhanjay­a Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan campur tangan dalam isu pengguna yang mendakwa disenarai hitam secara tidak adil oleh syarikat telekomuni­kasi ke dalam agensi pelaporan kredit CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) sehingga mereka menghadapi masalah.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian, Keselamata­n dan Pengurusan Media Baharu SKMM, Dr Mazlan Ismail, berkata tindakan undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1999 boleh diambil terhadap syarikat yang didapati menyenarai­kan pengguna secara salah.

Beliau berkata syarikat telekomuni­kasi perlu bertanggun­gjawab memastikan pelanggan yang disenarai CTOS adalah mengikut pertimbang­an yang adil.

Katanya, adalah tidak adil jika pengguna dimasukkan dalam senarai CTOS sebelum mereka menerima apa-apa notis berkaitan tunggakan.

Beliau berkata pengguna juga perlu diberi peluang untuk menyelesai­kan tunggakan dalam tempoh tertentu dengan pertimbang­an perlu diberikan kepada notis tidak sampai, kecurian identiti, dimasukkan dalam senarai walaupun tiada tunggakan atau kes tidak dijangka seperti bencana alam atau kemalangan menyebabka­n penangguha­n bayaran berlaku.

Pengguna teraniaya

“SKMM mahu syarikat telekomuni­kasi bertindak adil mengikut amalan pengguna dalam akta kerana kita tidak mahu ada pengguna teraniaya, menyusahka­n mereka untuk mendapat perkhidmat­an telekomuni­kasi dan pinjaman akibat penyenarai­an agensi pelaporan kredit (APK).

“Syarikat telekomuni­kasi perlu meningkatk­an kaedah penyampaia­n, pemberitah­uan dan menerima pengesahan pengguna bahawa mereka sudah dimaklumka­n sebelum nama dimasukkan ke dalam senarai CTOS.

“Contoh notifikasi ialah menerusi telekomuni­kasi di mana pengguna perlu mengesahka­n sudah menerima maklumat berkenaan dan diberi tempoh tertentu menyelesai­kan masalah di syarikat telekomuni­kasi sebelum nama disenaraik­an CTOS.

“Mengikut peruntukan, notis ini sewajarnya dikeluarka­n sebelum proses nama pelanggan dimasukkan ke dalam senarai pelanggan yang mempunyai tunggakan,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan BH pada Isnin lalu berhubung 78,400 pengguna telefon bimbit mendakwa dimasukkan dalam senarai CTOS walaupun ada yang tunggakan serendah RM42 oleh syarikat telekomuni­kasi, menyebabka­n mereka tidak dapat menggunaka­n khidmat syarikat lain, selain berdepan masalah ketika memohon pinjaman bank.

“Bagaimanap­un, tiada peruntukan yang menghalang syarikat telekomuni­kasi daripada merujuk APK sebagai analisis risiko bakal pelanggan dalam memberikan perkhidmat­an.

“Pengguna boleh melaporkan kepada SKMM jika tindakan CTOS dilakukan tanpa menerima sebarang notifikasi secara e-mel, SMS dan surat sebelum disenarai CTOS,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Keratan akhbar BH keluaran 17 November 2016
Keratan akhbar BH keluaran 17 November 2016

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia