Berita Harian

Rehlah Mahabbah Orang Asli dalami Islam

JAKMA jalin ukhuwah sambil bantu pupuk kefahaman mengikut al-quran, sunah

- Oleh Latifah Arifin

Bertemakan ‘Dakwah kita, untuk semua’, program Rehlah Mahabbah 2016/2017 yang menyantuni penduduk Orang Asli di Kampung Jekjok, Gua Musang, Kelantan, selama tujuh hari tampil dengan misi memupuk kefahaman agama berteraska­n al-quran dan sunah. Acara anjuran Kelab Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (JAKMA), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga penting dalam membina ukhuwah dengan penduduk di kawasan pedalaman.

Ketua JAKMA, Prof Madya Dr Abdul Ghafar Don berkata, program disertai sukarelawa­n terdiri daripada mahasiswa itu adalah susulan kepada acara Jalinan Kasih Bersama Penduduk di Kampung Redip di Gua Musang, April lalu.

“Ia bukanlah inisiatif pertama JAKMA, bahkan sebelum ini program seumpamany­a pernah diadakan dengan kerjasama beberapa jabatan lain seperti Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Peribumi, UKM dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Bagi acara kali ini kami memilih Kampung Jekjok kerana kebanyakan keluarga di sini beragama Islam, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa mempraktik­kan segala teori dan ilmu dakwah berteraska­n al-quran dan sunah yang dipelajari dengan berkesan,” katanya.

Kira-kira 200 masyarakat Orang Asli daripada 30 keluarga hidup dalam suasana serba sederhana di kampung itu.

Program menyeluruh

Rehlah Mahabbah 2016/2017 tidak hanya tertumpu kepada program berunsur dakwah semata-mata, tetapi turut menampilka­n pelbagai aktiviti sampingan seperti riadah santai, bimbingan motivasi dan sumbangan kemanusiaa­n.

Antaranya, program Hari Kesihatan Desa dengan kerjasama Pusat Kesihatan Daerah Lojing yangmenawa­rkan pemeriksaa­n kesihatan percuma sebagai usaha memberi kesedaran kepentinga­n penjagaan kesihatan kepada penduduk.

Tidak dilupakan, golongan kurang bernasib baik turut diraikan dengan pemberian sumbangan makanan asas dan pakaian yang dikumpulka­n peserta program hasil derma orang ramai.

Majlis dimeriahka­n dengan hiburan bermanfaat menerusi Malam Kesenian Rehlah Mahabbah 2016 yang menonjolka­n bakat dalam kalangan masyarakat Orang Asli termasuk pertanding­an busana Muslim dan Muslimah, persembaha­n nasyid serta tarian kebudayaan sewang.

Jadi anak angkat Orang Asli

Berikutan kedudukan kampung yang terletak di kawasan pedalaman, masyarakat Orang Asli sering keciciran dalam pengajian ilmu agama, maka menjadi tanggungja­wab umat Islam memberi bimbingan seperti dilaksanak­an peserta program Rehlah Mahabbah 2016/2017.

Program kali ini memberi penekanan kepada aktiviti pemantapan rohani, termasuk bimbingan solat berjemaah, tahsin alFatihah, demonstras­i cara mengambil wuduk dan pemantapan lafaz kalimah syahadah.

Perhatian dan tunjuk ajar diberi akan menyuburka­n semangat masyarakat Orang Asli terutama kanak-kanak dan remaja untuk mendalami ajaran Islam.

Selain itu, peserta ditempatka­n bersama keluarga angkat sepanjang program berlangsun­g supaya dapat merasai kehidupan masyarakat di sana dan memahami budaya mereka yang pastinya memberi pengalaman berharga.

 ?? [FOTO IHSAN PEMBACA] ?? Anak masyarakat orang asli yang menyertai pertanding­an memperagak­an busana Muslimah sempena Malam Kesenian Rehlah Mahabbah 2016.
[FOTO IHSAN PEMBACA] Anak masyarakat orang asli yang menyertai pertanding­an memperagak­an busana Muslimah sempena Malam Kesenian Rehlah Mahabbah 2016.
 ??  ?? Tayangan filem berunsur dakwah di Kampung Jekjok, Gua Musang, Kelantan.
Tayangan filem berunsur dakwah di Kampung Jekjok, Gua Musang, Kelantan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia