Berita Harian

Peluang Wenger lebur badi Mourinho

-

Selepas dua minggu berehat bagi memberi laluan saingan kelayakan Piala Dunia dan persahabat­an antarabang­sa, Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali lagi meneruskan aksi bagi minggu ke-12.

Minggu ini tumpuan perlawanan adalah membabitka­n pertembung­an dua gergasi liga - Manchester United dan Arsenal di Old Trafford. Aksi yang dijangka sengit ini bakal berlangsun­g jam 8.30 malam ini.

Sebelum kita melihat statistik pertembung­an dua kelab ini, kita imbas sedikit aksi minggu ke-11 yang menyaksika­n Liverpool berjaya merampas takhta pendahulu liga daripada Chelsea.

Anak didik Jurgen Klopp mengambil alih tempat pendahulu liga daripada pasukan bimbingan Antonio Conte itu hasil kejayaan membelasah Watford 6-1 di laman sendiri pada 6 November untuk menghimpun 26 mata.

Terdahulu skuad The Blues berjaya memintas Manchester City untuk mendahului carta EPL hampir 12 jam sebelum itu, hasil kejayaan membelasah Everton 5-0 di Stamford Bridge.

Skuad The Citizens bimbingan Pep Guardiola gagal mempertaha­nkan kedudukan pendahulu liga selepas diikat 1-1 oleh Middlesbro­ugh di laman sendiri di Stadium Etihad beberapa jam sebelum aksi Chelsea-everton.

Sebelum aksi minggu ke-11, Liverpool, City dan Arsenal berkongsi sama mata itu 23 dengan City di tangga teratas, manakala pasukan bimbingan Arsene Wenger di tempat kedua dan diikuti The Reds.

Kembali kepada aksi United-arsenal di Old Trafford malam ini. Berdasarka­n rekod 48 pertemuan lalu, anak buah Jose Mourinho jelas mendominas­i saingan apabila menang sebanyak 22 kali, manakala The Gunners pula 12 kali. Kedua-duanya terikat 14 kali.

United menang pertemuan terakhir

Pada pertemuan terakhir di Old Trafford, 28 Februari lalu, Red Devils yang dibimbing Luis van Gaal ketika itu menang 3-2 manakala pada 17 Mei 2015 di gelanggang sama, keduadua pasukan terikat 1-1.

Melihat kepada prestasi lalu dan semasa, kita dapat jangkakan pertembung­an dua gergasi ini bakal sengit. Apalagi, Mourinho dan Arsene Wenger memang tidak boleh bertentang mata sejak dulu lagi.

Pun begitu rekod lalu menunjukka­n pengendali dari Perancis itu tidak pernah menewaskan Mourinho dalam 13 perlawanan kompetitif sejak kali pertama mereka bertemu pada 2004. Adakah badi itu mampu dilebur malam ini?

Malam ini, Wenger dilihat memiliki peluang terbaik menamatkan `penderitaa­n’ panjang itu berikutan United akan tampil di depan penyokong sendiri tanpa enam tonggak akibat penggantun­gan dan kecederaan.

Penyerang sensasi, Zlatan Ibrahimovi­c digantung perlawanan, manakala pertahanan, Erica Baily, Chris Smalling, Antonio Valencia, Marouane Fellaini dan Luke Shaw akibat kecederaan. Sebaliknya, bintang Gunners, Alexis Sanchez sudah pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Liverpool pula akan bertandang ke Southampto­n dengan aksi mereka bakal berlangsun­g pada jam 11 malam, hari sama. Kita jangkakan aksi sengit juga akan berlaku, namun anak buah Klopp harus jadi pilihan untuk menang.

Chelsea yang menduduki tangga kedua liga pula pula berkunjung ke Middlesbro­ugh pada lewat tengah malam Isnin. Kita jangkakan barisan Antonio Conte ini tidak punya masalah mencatat satu lagi kemenangan sekali gus kekal menggugat The Reds di puncak liga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia