Berita Harian

Nilai yuan jatuh ke paras terendah sejak Jun 2008

-

Mata wang yuan China jatuh ke paras terendah dalam tempoh lapan tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, sejajar dengan penurunan mata wang Asia lain.

Kejatuhan itu berikutan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutua­n (Fed), Janet Yellen yang membayangk­an kadar faedah AS akan dinaikkan dalam tempoh terdekat ini.

Kemenangan mengejutka­n Donald Trump pada pilihan raya presiden AS minggu lalu mencetuska­n kenaikan menyeluruh dolar dengan jangkaan lebih banyak pakej rangsangan fiskal akan dibelanjak­an bagi menyokong ekonomi negara itu.

Kenyataan terkini Fed pula menambah satu lagi pusingan baharu rali mata wang AS.

Kelmarin, Yellen menyatakan Fed mungkin menaikkan kadar faedah ‘tidak lama lagi’ jika data ekonomi terus terarah kepada pasaran buruh yang bertambah baik dan inflasi meningkat.

Pengukuhan dolar

“Kami percaya komen dan kenyataan Yellen menyokong dolar untuk beberapa bulan akan datang,“kata ahli strategi tukaran asing Asia di Scotiabank, Gao Qi dalam satu nota.

Dari paras rendah pada Rabu, dolar mencatatka­n rali lebih daripada lima peratus berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Yuan mencatatka­n prestasi yang sedikit baik berbanding mata wang Asia lain, seperti Malaysia, walaupun penganalis­is berkata campur tangan Kerajaan China dapat mengurangk­an kelemahan yuan.

Bank pusatnya, People‘s Bank of China menetapkan kadar titik tengah pada 6.8796 sebelum pembukaan pasaran, lebih lemah berbanding kadar sebelumnya 6.8692.

Pasaran spot dibuka pada 6.8890 dan bertukar tangan pada 6.8905 pada sesi tengah hari, 185 mata atau ‘pip’ lebih rendah berbanding penutup sesi lewat sebelumnya dan 0.16 peratus di luar titik tengah.

Indeks dolar meningkat

Ia sekali gus diniagakan pada paras terendah sejak Jun 2008. Kadar spot ketika ini dibenarkan untuk diniagakan dalam lingkungan dua peratus di atas atau di bawah penetapan rasmi pada satu-satu hari.

Indeks Thomson Reuters/ HKEX Global CNH, yang menjejaki yuan luar pesisir berbanding sekumpulan mata wang lain setiap hari pula berada pada 95.33, lebih kukuh berbanding 95.13 hari sebelumnya.

Indeks dolar global meningkat kepada 101.24 berbanding penutup sebelumnya 100.89. Yuan luar pesisir pula diniagakan 0.29 peratus lebih lemah berbanding pasaran spot domestik pada 6.9104 bagi setiap dolar.

 ??  ?? Mata wang China catat prestasi lebih baik berbanding mata wang Asia yang lain.
Mata wang China catat prestasi lebih baik berbanding mata wang Asia yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia