Berita Harian

Gadis bakal bertunang maut nahas di LPT2

-

Chukai: Hasrat sepasang kekasih melangsung­kan pertunanga­n bulan depan tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut, manakala seorang lagi parah, selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 253.6, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Prasing Jaya, Jabor, di sini, petang kelmarin.

Dalam nahas pada jam 6.50 petang itu, Nurul Ashikin Othman, 22, dari Kampung Sungai Korok, Pendang, Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala teman lelakinya, Muhammad Izzuddin Zakaria, 25, parah pada kepala dan badan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Izzuddin yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian, lalu terbabas dan melanggar penghadang kiri jalan lebuh raya berkenaan.

Bapa saudara Nurul Ashikin, Zulkifli Mat Isa, 52, berkata anak saudaranya itu ada memberitah­u mahu menemani teman lelakinya itu ke Kuantan untuk mengambil diploma di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan bertolak pada jam 10 pagi kelmarin.

Enggan jamah ketupat pulut

“Saya izinkan dia pergi serta turut membenarka­n mereka berdua menggunaka­n kereta saya. Sebelum pergi, Nurul Ashikin menunjukka­n perangai lain daripada biasa.

“Sebelum meninggalk­an saya pada jam 10 pagi di Kampung Meraga Beris, Kijal, dia asyik menunjukka­n baju kurung dan tudung baru dipakainya yang dibeli bakal tunangnya itu kepada saya. Dia juga tidak mahu sarapan ketupat pulut kiriman neneknya dari Kedah,” katanya.

Beliau berkata, anak saudaranya itu yang bekerja sebagai juruwang di sebuah restoran makanan segera di Kuala Terengganu sebelum ini sangat suka makan ketupat pulut, lebih-lebih lagi air tangan neneknya, namun kali ini dia terus menolaknya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superinten­dan Normansah Din ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan kejadian dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan dituntut keluargany­a untuk dikebumika­n.

 ?? [FOTO SHAMSUDIN HUSIN/BH] ?? Keadaan kereta dipandu Muhammad Izzuddin yang terbabit nahas di Lebuh Raya Pantai Timur 2, kelmarin. Gambar kecil, Nurul Ashikin.
[FOTO SHAMSUDIN HUSIN/BH] Keadaan kereta dipandu Muhammad Izzuddin yang terbabit nahas di Lebuh Raya Pantai Timur 2, kelmarin. Gambar kecil, Nurul Ashikin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia