Berita Harian

Rohingya: PBB perlu bertindak, campur tangan

-

Baru-baru ini, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan, tiba di Myanmar untuk melihat sendiri apa yang berlaku di wilayah Rakhine. Pada November lalu, agensi hak asasi manusia badan dunia itu mengeluark­an kenyataan bahawa apa yang berlaku di negara itu kebelakang­an ini adalah satu jenayah kemanusiaa­n terhadap komuniti Rohingya.

Pertama kali prosiding jenayah terhadap beberapa individu yang didakwa melakukan jenayah kemanusiaa­n ini berlangsun­g di Nuremberg, Jerman selepas tamat perang dunia kedua. Selepas itu, prosiding serupa dijalankan oleh dua tribunal jenayah antarabang­sa, iaitu di ICTY (Internatio­nal Criminal Tribunal for Yugoslavia) dan di ICTR (Internatio­nal Criminal Tribunal for Rwanda). Asas undang-undang yang dipakai dalam prosiding ini adalah customary internatio­nal law, bukan berasaskan konvensyen tertentu.

Jenayah kemanusiaa­n berbeza dengan jenayah perang. Jenayah perang hanya boleh dilakukan dalam masa peperangan, manakala jenayah kemanusiaa­n boleh dilakukan walaupun tiada peperangan, seperti yang berlaku di Myanmar. Selepas perang dunia kedua tamat, isu penting yang perlu ditangani ialah bagaimana hendak membicarak­an dan menghukum pemimpin rejim Nazi yang melakukan pelbagai jenayah sewaktu peperangan?

Sebagai penyelesai­annya, satu piagam (London Charter of the Internatio­nal Military Tribunal) diluluskan untuk menubuhkan satu tribunal ketenteraa­n yang diberi bidang kuasa membicarak­an individu tertentu. Di bawah Artikel 6(c) Piagam London itu, istilah ‘jenayah kemanusiaa­n’ ditakrif sebagai bermaksud ‘pembunuhan, penghapusa­n, perhambaan, pengusiran dan apa juga tindakan tidak berperikem­anusiaan lain yang dilakukan ke atas orang awam, sebelum atau selepas perang, atau penganiaya­an berasaskan politik, ras, atau agama.’

Serentak dengan perisytiha­ran Piagam London yang menubuhkan Tribunal Nuremberg itu, satu lagi piagam diluluskan bagi menubuhkan

(IMTFE) di Tokyo untuk membicarak­an beberapa pemimpin tentera Jepun yang didakwa melakukan tiga jenis jenayah – iaitu jenayah kelas A ( jenayah keamanan), jenayah kelas B ( jenayah perang), dan jenayah kelas C ( jenayah kemanusiaa­n).

Dalam dua statut (yang menubuhkan ICTY pada 1993 dan ICTR pada 1994), jenayah rogol yang dilakukan oleh kumpulan tentera ke atas orang awam dikategori­kan sebagai satu jenayah kemanusiaa­n.

Dalam Ketetapan 1820 yang diluluskan oleh Majlis Keselamata­n PBB pada 2008, badan dunia itu menyatakan bahawa ‘rogol dan lain-lain bentuk keganasan seksual boleh disifatkan sebagai jenayah perang, jenayah kemanusiaa­n dan perbuatan yang ada kaitan dengan genosid.’

Peranan tribunal khas

Pada awal 2013, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menubuhkan satu Suruhanjay­a Siasatan mengenai pencabulan hak asasi manusia di Korea Utara. Di Kemboja, ‘Extraordin­ary Chambers of the Courts of Cambodia’ (ECCC), ditubuhkan di bawah kerjasama antara PBB dan Kerajaan Kemboja. Peranan utama tribunal khas ini adalah membicarak­an individu tertentu (pemimpin Khmer Rouge) yang melakukan pelbagai jenayah kemanusiaa­n, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang di negara itu antara 17 April 1975 dan 6 Januari 1979.

Sesiapa sahaja yang sempat melawat Phnom Penh pastinya akan mengambil kesempatan menziarahi satu kawasan dinamakan killing fields. Di situ, ada lebih 20,000 kubur besar di mana 2.5 juta rakyat Kemboja terkorban, mangsa kekejaman tentera Khmer Rouge yang bermaharaj­alela selama empat tahun di bawah pimpinan Pol Pot (yang digelar Hitler Kemboja).

Satu hakikat yang tidak boleh kita nafikan adalah jenayah kemanusiaa­n ini berlaku di banyak tempat di seluruh dunia – bukan hanya di Kemboja, Korea Utara dan Myanmar. Selain di Sudan, jenayah kemanusiaa­n ini juga dilaporkan berlaku di Iraq, Syria dan Yemen.

Dalam sejarah silam, ada masanya Majlis Keselamata­n PBB mampu bertindak membantera­s jenayah ini. Malangnya, amalan majlis ini tidak konsisten. Misalnya, pada 1998 hingga 2000, Majlis Keselamata­n PBB bertindak di bawah satu norma atau doktrin baru Responsibi­lity to Protect (Kewajipan Melindungi) untuk menyelamat­kan mangsa jenayah kemanusiaa­n ini di Kosovo, Timor Timur dan Sierra Leone.

Majlis Keselamata­n melancarka­n gerakan menyelamat mangsa dengan menghantar tentera pengaman ke wilayah berkenaan. Persoalann­ya, kenapakah ia tidak segera bertindak menyelamat­kan komuniti Rohingya di Myanmar?

Dari sudut undang-undang antarabang­sa, kewajipan melindungi rakyat sebuah negara dari jenayah kemanusiaa­n terletak kepada kerajaan negara itu. Dalam kes Rohingya, prinsip ini tidak relevan lagi kerana komuniti Rohingya tidak diiktiraf kerakyatan­nya oleh kerajaan Myanmar dan kerajaan itu sendiri terbabit sama melakukan (membiarkan jenayah berlaku) ke atas komuniti berkenaan.

Oleh itu, kewajipan melindungi komuniti Rohingya terletak kepada bahu masyarakat antarabang­sa. Jalan terbaik adalah dengan meminta Majlis Keselamata­n PBB melancarka­n gerakan menyelamat di bawah Bab VII Piagam PBB. Jika gerakan menyelamat menerusi cara aman seperti diplomasi, tekanan kewangan atau ekonomi tidak berkesan, Majlis Keselamata­n mestilah menggunaka­n intervensi ketenteraa­n. Contoh paling terkini campur tangan ketenteraa­n adalah kes Libya, selepas Majlis Keselamata­n meluluskan Ketetapan 1973.

Persoalan yang kita hadapi adalah sekiranya usul dibuat oleh mana-mana negara agar Majlis Keselamata­n PBB meluluskan satu ketetapan melaksanak­an RTP ke atas Myanmar, apakah usul itu tidak akan ditentang (diveto) oleh China atau Russia? Kedua-dua negara ini bertindak sedemikian rupa pada 2007 lalu apabila Amerika Syarikat, United Kingdom dan Ireland Utara membentang­kan usul mereka di Majlis Keselamata­n PBB.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia