Berita Harian

Pencapaian 3 emas berbaloi

Buruan kejuaraan di Indonesia bukan misi mudah

-

Daripada Sukhairi Thani

Andai ada berkata pasukan silat pergi 'bercuti' di Bali selepas tidak mencapai sasaran lima emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2016, lupakan sajalah pandangan sinis itu.

Mereka tiba di sini sebagai persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan perjuangan memburu emas di laman Indonesia, bukanlah satu misi yang mudah.

Penulis tiba di venue pertanding­an - Gelanngang Olahraga Lila Bhuana - Ahad lalu dan gambaran awal terhadap temasya sudah tentulah sebuah penganjura­n yang berprestij selepas dimaklumka­n kali ini kejohanan disertai lebih 40 negara.

Semua itu meleset sama sekali, tempat berkumpul setiap pasukan tidak terurus, susunan jadual perlawanan bercelaru malah ada juga unsur 'sabotaj' - seperti isu Mohd Zarish Hakim Shukor yang pengsan dalam aksi suku akhir Kelas Putra C ketika bertemu lawan dari tuan rumah.

Ketika itu, pegawai perubatan perlawanan membuat keputusan yang Zarish masih boleh meneruskan perlawanan biarpun secara jelasnya, terlentang 'bagaikan mayat' di gelanggang dan semua masalah dihadapi pasti mengganggu momentum pesilat.

Cetus kemarahan

Ia mencetuska­n kemarahan Setiausaha Agung Persekutua­n Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebaik saja tiba di Bali, Rabu lalu yang baginya insiden sedemikian hanya merosakkan dan seharusnya dibendung demi imej sukan tradisi itu.

Semua itu menjadi tambahan tekanan buat pasukan negara dalam memburu sasaran dan pencapaian tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa - yang mengulangi pencapaian emas tahun lalu di Phuket, Thailand bagi penulis, berbaloi menjelang temasya dwi tahunan Asia Tenggara di Kuala Lumpur, Ogos depan.

"Sasaran itu biasa... kita boleh sasar tapi ia tidaklah begitu jauh," kata Megat Zulkarnain sambil menyatakan prospek emas negara, Fauzi Khalid tidak dapat menyertai kontinjen selepas dinasihatk­an Institut Sukan Negara (ISN) kerana mengalami kecederaan.

"Dalam silat seni, rata-ratanya dimenangi tuan rumah manakala silat olahraga adalah berdasarka­n kemenangan mutlak.

"Jadi di Sukan SEA nanti, sasaran kita adalah meraih lebih emas berbanding di sini dan saya percaya pesilat kita sudah memberikan 200 peratus komitmen mereka di sini."

Oleh itu, 28 pesilat yang membawa nama Malaysia di kawasan pelanconga­n popular Indonesia ini bukanlah bercuti tetapi sebagai persiapan daripada sudut mental dan fizikal bagi membantu kontinjen negara muncul juara keseluruha­n Sukan SEA di laman sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia