Berita Harian

Faiz dapat jemputan rasmi FIFA

FAM kini tunggu maklumat perjalanan majlis

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahka­n sudah menerima surat jemputan rasmi buat Mohd Faiz Subri untuk Malam Anugerah Bola Sepak Persekutua­n Bola Sepak Antarabang­sa (FIFA) di Zurich, Switzerlan­d, Januari ini.

Penyerang sensasi Pulau Pinang itu bakal ke majlis badan induk bola sepak dunia selepas jaringan ajaibnya dicalonkan dalam senarai tiga terakhir bagi merebut Anugerah Puskas FIFA 2016.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya kini hanya menunggu maklumat terperinci mengenai perjalanan majlis itu daripada FIFA.

“Kita sudah dapat surat jemputan rasmi untuk Faiz selepas jaringanny­a dicalonkan dalam tiga gol terbaik. Sekarang ini kita hanya menunggu maklumat lengkap mengenai semua proses majlis itu termasuk dari segi masa dan sebagainya.

“Bila sudah dapat nanti kita akan maklumkan,” katanya kepada BH Sukan semalam.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Mohd Faiz berharap dapat membawa anak dan isterinya bagi menghadiri malam anugerah itu di Zurich pada 9 Januari ini.

Perkembang­an terkini

Mohd Faiz yang sudah tersenarai dalam tiga calon terakhir dengan pemenang akan diumumkan pada majlis gilanggemi­lang itu, berkata setakat ini dia masih menanti perkembang­an terkini daripada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan FAM.

Pemain Harimau Kumbang itu berkata, jika diberi peluang dia mahu membawa isteri, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh dan Muhammad Aqil Zayyan yang masing-masing berusia empat tahun dan tujuh bulan pada malam anugerah itu.

Nama Faiz kini dikenali di peringkat dunia dengan video jaringan ajaibnya ketika berdepan Pahang, Januari lalu ditonton 1,964,360 pelayar pada kira-kira jam 7 malam semalam.

Lebih membanggak­an, dalam saingan 10 jaringan terbaik sebelum ini, Faiz berjaya menewaskan pemain terbaik dunia Lionel Messi dan Neymar yang menyaksika­n dia kini hanya perlu bersaing dengan Marlone dari Brazil dan pemain bola sepak wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Ketiak ditanya berhubung soal FAM bersedia menaja anak dan isteri Mohd Faiz ke malam anugerah berkenaan, Hamidin menjelaska­n perkara itu akan diputuskan kemudian selepas semua proses selesai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia