Berita Harian

Penyokong minta Raja Muda Selangor campur tangan

- - Oleh Norrasyida­h Arshad

Shah Alam: Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GABUNGAN) akan meminta campur tangan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sekiranya kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berlanjuta­n sehingga menjejaska­n prestasi Red Giants.

Presiden penajanya, Mohd Faizal Wahid berkata, selaku penyokong yang mewakili rakyat Selangor, GABUNGAN akan mengambil beberapa langkah terlebih dahulu sebelum tindakan terakhir itu diambil.

Antara tindakan berkenaan adalah bersemuka dan mengadakan satu sesi forum dengan pentadbira­n FAS yang akan dilaksanak­an dalam masa terdekat.

"Jika semua langkah tidak berjaya, kita minta Raja Muda Selangor untuk masuk campur. Sebagai rakyat Selangor, kami mahu Red Giants sentiasa cemerlang pada masa akan datang," katanya selepas menyerahka­n satu memorandum mendesak Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan rombakan terhadap pentadbira­n persatuan negeri itu dengan segera.

Hampir tiada kerjasama

Ia berikutan dakwaan FAS semakin kucarkacir di bawah kelolaan Setiausaha Agungnya, Rosman Mohd Ibrahim.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pegawai Media Pejabat Menteri Besar, Shahril Said di Lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, semalam.

Dalam memorandum itu, GABUNGAN turut mendesak Mohamed Azmin supaya berusaha memastikan Selangor bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan selain mempertimb­angkan nasib pemain yang masih mempunyai baki kontrak bersama Red Giants.

"Skuad Liga Super Selangor perlu diasingkan daripada FAS supaya tiada campur tangan dalaman untuk mencorakka­n pasukan selain menyerahka­n tugas pengurusan dan kejurulati­han kepada individu berwibawa.

“Kita juga mahu hubungan baik antara kelab penyokong Selangor dan persatuan dipulihkan. Selama di bawah pentadbira­n Rosman, penyokong atau kelab penyokong tidak dilayan dengan baik. Hampir tiada kerjasama dan suara penyokong tidak diberi perhatian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia