Berita Harian

Paras sungai naik, deras punca sekumpulan pendaki terkandas

Tidak sanggup tanggung risiko berikutan arus deras

- Oleh Mohd Roji Kawi

Paras air yang naik ke tahap bahaya selain arus deras selepas hujan lebat, menyebabka­n sekumpulan 30 pendaki dari Kelab Aktiviti Lasak Kenyalang, terkandas di kawasan hutan berdekatan Kampung Tringgus di sini, sejak petang kelmarin.

Ketua kumpulan pendaki berkenaan, Doni Sahari, 52, berkata walaupun membawa peralatan seperti tali, namun mereka tidak sanggup menempuh risiko berikutan air sungai yang terlalu merbahaya.

Berikutan itu, katanya, mereka terpaksa membuat keputusan mendirikan khemah dan bermalam di kawasan kebun penduduk kampung berkenaan sementara menunggu air surut.

“Kami sepatutnya sampai di Kampung Tringgus pada jam 4 petang semalam (kelmarin) selepas mendaki Gunung Brik pada jam 10 pagi, Sabtu lalu.

Arus terlalu deras

“Namun, ketika kami berada di tebing sungai yang memisahkan kawasan kaki gunung dengan tempat permulaan pendakian di Kampung Tringgus, paras air sungai itu naik mendadak dan arus pula terlalu deras,” katanya ketika ditemui di Kampung Tringgus di sini, petang semalam.

Doni berkata, mereka tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan dan minuman kerana membawa bekalan lebih sebagai persediaan jika berlaku kecemasan.

“Sebelum memulakan pendakian itu juga semua ahli kumpulan sudah diberi taklimat mengenai selok belok kawasan gunung berkenaan dan risiko yang akan dihadapi.

“Saya sudah tiga kali mendaki Gunung Brik dan saya memiliki pengetahua­n mengenai laluan serta cabaran ketika mendaki dan berkhemah di gunung itu,” katanya yang juga Pengerusi Kelab Aktiviti Lasak Kenyalang.

Katanya, walaupun ramai ahli kumpulan berkenaan yang berusia antara 17 tahun hingga 52 tahun pertama kali mendaki Gunung Brik, namun mereka berpengala­man melakukan aktiviti di tempat lain.

Kumpulan pendaki itu keluar dari kawasan hutan itu pada jam 8.30 pagi semalam dan sampai di Kampung Tringgus secara berperingk­at bermula jam 11.20 pagi semalam hingga jam 2.55 petang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kuching, Gregory Kurong Suwen berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada polis pada jam 7.01 pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat itu, 12 anggota bomba termasuk dari Unit Khas MUST, dikerah mengesan kumpulan pendaki terbabit dan kita bernasib baik, kerana semua pendaki itu berjaya keluar dengan selamat walaupun terkandas semalaman,” katanya.

 ?? [FOTO MOHD ROJI KAWI/BH] ?? Anggota bomba dan penyelamat menyemak senarai nama 30 orang pendaki setibanya mereka di Pos Kawalan Bomba di Kampung Tringgus, Bau, semalam.
[FOTO MOHD ROJI KAWI/BH] Anggota bomba dan penyelamat menyemak senarai nama 30 orang pendaki setibanya mereka di Pos Kawalan Bomba di Kampung Tringgus, Bau, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia