Berita Harian

Pengukuhan dolar AS punca kenaikan harga minyak

-

Putrajaya: Kenaikan harga minyak dunia dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit bakal mengakibat­kan kenaikan harga minyak tempatan. Pengarah Komunikasi Strategik, Kementeria­n Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam, berkata apabila harga pasaran minyak mentah dunia meningkat bulan ini, maka penetapan harga runcit bagi bahan api itu di pasaran Malaysia juga dijangka turut akan meningkat.

“Dua tahun lalu bila harga minyak dunia turun, kita memutuskan untuk mengapungk­an harga mengikut sistem apungan terkawal atau terurus mulai 1 Disember 2014. Ini bermakna, kita tidak lagi memberikan subsidi untuk RON95, mahupun diesel. “Harga purata bulan Disember akan menjadi harga bulan Januari 2015. Purata maksudnya harga dari 1 hingga 31 haribulan dibahagi dengan 31 hari, bukan harga minyak dunia di hujung bulan mengikut pemahaman sesetengah pihak.

Kos pembelian minyak meningkat

“Selain itu, satu lagi perkara akan memberi kesan kepada harga minyak tempatan adalah pengukuhan dolar AS berbanding ringgit kini. Ia akan menyebabka­n kos pembelian minyak meningkat, sekali gus memberi kesan peningkata­n kepada penetapan harga bahan api di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lokman berkata, ramai yang masih tidak boleh menerima bahawa kerajaan perlu berhenti memberikan subsidi secara pukal dan membantu rakyat melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.

“Subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti orang kaya dan miskin menerima nilai subsidi sama. Contoh, pada bulan Julai 2014, setiap liter RON95, kita beri subsidi sebanyak RM0.6843 seliter. Ini bermakna orang kaya dan miskin menerima nilai subsidi sama setiap liter.

“Malangnya si kaya menggunaka­n kuantiti minyak yang jauh lebih banyak berbanding si miskin. Contohnya pengguna kereta Kancil, bila mengisi tangki penuh dengan RON95, jumlah subsidi yang mereka terima hanyalah sekitar RM16.29.

“Mereka dari kelas menengah yang menggunaka­n Toyota Camry membelanja­kan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi terpaksa kerajaan bayar adalah sebanyak RM48.87, ini tiga kali ganda lebih besar daripada si miskin tadi,” katanya.

Katanya, apakah ia adil kepada petani yang hanya ada motosikal Honda Cup dan cuma menggunaka­n sekitar tiga liter petrol untuk tangki penuh dengan subsidi diterima hanya RM2.05.

Rasionalka­n pemberian subsidi

“Banyak mana pula subsidi diterima mereka yang menggunaka­n Mercedes, BMW, Land Cruiser dan sebagainya. Sudah tentulah, lagi besar tangki lagi banyak penggunaan petrol, lagi berat beban subsidi ditanggung kerajaan,” katanya.

Katanya, berdasarka­n kajian Kementeria­n Kewangan, kerajaan membelanja­kan 70 peratus dari nilai subsidi untuk membantu orang berada, manakala hanya 30 peratus subsidi diberikan dalam bentuk RON95 dan diesel dinikmati rakyat terbanyak.

“Itu sebabnya, pemberian subsidi ini perlu kita rasionalka­n. Pada masa sama kita perlu sedar bahawa duit yang dikutip daripada pembayar cukai sewajarnya dipulangka­n kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau lagi, setiap hari terutama hujung minggu, subsidi diberikan kerajaan kepada rakyat, bocor kepada kereta Singapura, diseludup ke Thailand dan Filipina dan tidak kurang dijual di perairan antarabang­sa.

 ?? [GAMBAR HIASAN] ?? Harga minyak tempatan bakal mengalami kenaikan akibat pelbagai faktor.
[GAMBAR HIASAN] Harga minyak tempatan bakal mengalami kenaikan akibat pelbagai faktor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia