Berita Harian

Bekas Pengarah JANS, isteri masih kumpul wang jaminan

-

Kota Kinabalu: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan isterinya masih berusaha mengumpul wang jaminan, masing-masing RM10 juta dan RM2 juta susulan pertuduhan ke atas mereka di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin.

Peguam kedua-dua tertuduh, Hairul Vaiyron Othman, berkata pasangan suami isteri terbabit berusaha mengumpul wang jaminan ditawarkan mahkamah bagi membolehka­n mereka dibebaskan sementara menunggu proses perbicaraa­n.

Beliau berkata, kedua-dua anak guamnya itu juga berhasrat mengemukak­an rayuan agar wang jaminan yang dikenakan kepada mereka dikurangka­n.

Gagal kemuka bayaran

“Setakat ini, mereka masih berusaha mengumpul wang jaminan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Sesyen, memerintah­kan bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, diikat jamin RM10 juta bagi semua 12 tuduhan dikenakan terhadap dengan dua penjamin tempatan, manakala isterinya dibenarkan diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Kedua-dua tertuduh bagaimanap­un gagal mengemukak­an bayaran jaminan menyebabka­n mereka dihantar ke Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Seorang lagi tertuduh, bekas Timbalan Pengarah JANS yang bersara pada tahun 2015, Lim Lam Beng, 62, yang didakwa atas empat pertuduhan pula membayar jaminan RM1 juta yang dikenakan terhadapny­a.

Kelmarin, ketiga-tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 37 tuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM61.57 juta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia