Berita Harian

Tubuh sekretaria­t khas misi kemanusiaa­n ASEAN

Syor elak Kerajaan Myanmar bolot bantuan disalur kepada Rohingya

- Oleh Ahmad Suhael Adnan

ASEAN perlu segera menubuhkan sekretaria­t khas bagi memastikan semua misi kemanusiaa­n dan bantuan untuk etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar diterima secara terus oleh kumpulan sasar.

Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar ketika dihubungi BH semalam, berkata cadangan itu sudah disuarakan Malaysia ketika sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN di Yangon baru-baru ini, namun belum ada keputusan.

“Ketika sesi itu, Myanmar kelihatan tidak setuju dengan cadangan terbabit, bererti mereka akan memilih untuk benarkan bantuan dari negara tertentu sahaja. Pada pandangan saya, Myanmar tidak suka bantuan dari Malaysia menerusi misi Food Flotilla For Myanmar yang akan digerakkan tidak lama lagi.

“Jadi, kerajaan kita mungkin perlu berunding dengan Myanmar supaya badan bukan kerajaan (NGO) kita boleh masuk ke utara Rakhine, iaitu kawasan konflik. Untuk ke situ, perlukan permit kerana mereka (Myanmar) mahu pantau dan mungkin juga mahu sesuatu sebagai bayaran.

“Namun apa pun, yang penting ialah bantuan dapat diagihkan secara adil dan sampai terus kepada etnik Rohingya,” katanya sambil menambah, jika sekretaria­t khas itu tidak diwujudkan, misi bantuan pelbagai NGO terpaksa bergantung pada inisiatif di antara kerajaan (G2G).

Bantuan kena ‘cukai’

Sebelum ini, Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabang­sa Malaysia (IKIAM), Datuk Zahidi Zainul Abidin, mendakwa bantuan untuk etnik Rohingya sejak enam tahun lalu sia-sia kerana sebahagian besar daripadany­a dibolot tentera dan sami Buddha Myanmar yang mengenakan ‘cukai’ terhadap bantuan luar ke Rakhine.

Syed Hamid berkata, sukarelawa­n luar perlu mengikut peraturan Kerajaan Myanmar jika mahu bantuan sampai secara terus, selain memastikan keselamata­n peserta misi serta penduduk Rohingya tidak terancam kerana bantuan yang cuba disalurkan itu.

“Kita tidak mahu ada orang Rohingya yang bercakap dengan sukarelawa­n kita atau gambarnya keluar akhbar, ditangkap dan dibunuh seperti pernah berlaku sebelum ini. Misi kita bukan setakat tiba di kem pelarian di Sittwe, tapi sehingga utara Rakhine untuk agih sendiri bantuan kepada pelarian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjay­a Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail, berkata NGO luar boleh cuba menyalurka­n bantuan, termasuk kewangan melalui pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Rakhine kerana jika melalui Kerajaan Myanmar, kemungkina­n besar ia digunakan untuk tujuan lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia