Berita Harian

Jarang keluar TV

-

Pernah meledak menerusi drama Tuan Anas Mikael, pencapaian cemerlang itu kembali dinikmatin­ya menerusi drama terbaharu terbitan Global Station Sdn Bhd, Isteri Tuan Ihsan berganding­an dengan Amyra Rosli. Sejak beberapa tahun kebelakang­an ini, Aaron dilihat semakin ‘mahal’ dan eksklusif apabila hanya menjayakan naskhah tertentu.

“Saya bersyukur drama ini mendapat sambutan. Saya pula jarang keluar TV, tetapi apabila sesekali muncul dan diterima peminat, saya amat menghargai­nya. Sepanjang 2016, selain drama ini, saya juga terikat dengan projek seni di Singapura selama empat bulan,” katanya.

Aaron berkata, semua itu dilakukan atas permintaan pengurusan­nya yang tidak mahu wajahnya terlalu kerap muncul di kaca TV.

“Mereka hanya mengizinka­n saya muncul dalam satu drama setahun. Saya tidak membantah kerana dapat menumpukan perhatian kepada komitmen lain seperti filem atau menyerikan acara. Diikutkan saya masih sibuk sepanjang tahun lalu, cuma mungkin disebabkan tidak banyak publisiti, ramai menyangka saya sudah menyepi.

“Ada beberapa projek filem membabitka­n saya sudah selesai penggambar­an tapi belum ditayangka­n termasuk Kau Yang Satu arahan Osman Ali. Filem arahan saya, Sayu Yang Syukur berganding­an dengan Nora Danish juga sudah siap dan menanti masa untuk menemui peminat,” katanya bernaung di bawah pengurusan Astro sejak lapan tahun lalu.

Puji bakat Amyra

Berganding­an dengan Amyra, Aaron mengakui, isteri kepada pelakon Amar Baharin itu berbakat besar dan memiliki pakej lengkap untuk terus menyinar. Menerusi drama yang semakin meraih perhatian itu, Aaron membawakan watak sebagai Tuan Ihsan yang bercinta dengan wanita muda, Seroja Irdina lakonan Amyra.

“Amyra pelakon yang bersahaja, malah tahu apa yang perlu dilakukan. Setiap kali tiba di set penggambar­an, Amyra sentiasa bersedia. Bayangkan dalam sehari lebih 20 babak perlu dilunaskan dan watak Seroja pula memerlukan tenaga yang luar biasa. Saya kagum apabila Amyra mampu mengekalka­n fokusnya.

“Persembaha­n Amyra membantu melengkapk­an lakonan saya,” kata Aaron yang bakal menjayakan filem dan teater selain drama bersiri Inggeris lakonannya, Meet The MP akan ditayangka­n di Singapura tidak lama lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia