Berita Harian

Nasi dagang daun simpul jadi pilihan

Idea Kak Teh jadikan makanan lebih menyelerak­an

- Oleh Amin Ridzuan Ishak aminridzua­n@bh.com.my

Jika dilihat bungkusan luarannya, nasi dagang daun simpul Kak Teh yang dijual di lot gerai di Bandar Lama Rompin, di sini, kelihatan biasa sahaja dan mungkin ada pelik melihatnya berikutan saiz daunnya yang besar.

Namun, persepsi itu pastinya berubah sebaik suapan pertama nasi dagang dikukus dengan santan kelapa yang dimakan dengan gulai ikan tenggiri kerana aromanya cukup mengharumk­an, sekali gus membangkit­kan selera.

Justeru, tidak menghairan­kan sekiranya nasi dagang disediakan Chik Long, 60, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Teh sering menjadi pilihan orang ramai termasuk pelancong dari luar negara antaranya Singapura serta Jepun.

Ditemui BH, Kak Teh berkata, beliau sudah menjalanka­n perniagaan menjual nasi dagang daun simpul itu sejak 40 tahun lalu dan sambutan orang ramai terhadap resipi arwah ibunya, Chik Puteh Abdullah, cukup baik.

Aroma nasi dagang harum

“Orang ramai suka dengan aroma nasi dagang yang harum kerana dibungkus dengan daun simpul, lagi bertambah selera makan berbanding jika dihidangka­n di pinggan biasa. Ia adalah tarikan utama orang ramai ke gerai kami.

“Ada pelancong dari Singapura dan Jepun yang makan nasi dagang daun simpul menyatakan tidak boleh melupakann­ya, apabila datang ke Rompin pasti mereka singgah untuk makan serta mengambil gambar,” katanya.

Kak Teh berkata, arwah ibunya mendapat idea membungkus nasi dagang dengan daun simpul kerana ia kelihatan cantik dan cukup sayang melihatnya terbiar begitu sahaja tanpa ada sebarang kegunaan.

“Apabila saya berniaga, saya cuba jualnya di Rompin dan orang di sini pun suka. Sambutanny­a amat baik. Saya hanya perlu berniaga tiga jam sehari iaitu bermula jam 6 pagi bagi jualan hidangan sarapan sahaja.

“Awal pagi sudah ada ramai pembeli terutama pekerja pejabat dan guru yang membawanya ke tempat kerja, sebagai peniaga saya gembira melihat kepuasan di wajah pelanggan,” katanya yang dibantu ahli keluargany­a dalam menjalanka­n perniagaan.

Sementara itu, anak lelaki Kak Teh, Yuswadil Isma Mohd Razali, 35, turut berkongsi petua atau panduan bagi memetik daun simpul yang tidak boleh dilakukan pada cuaca hujan.

“Ia akan menyebabka­n daun simpul mudah rapuh, jadi sebaiknya kalau hendak mencari dan memetik daun simpul lebih baik pada cuaca cerah.

“Pada masa ini agak mudah mencari daun simpul di Rompin dan ia boleh dicari di kawasan berpaya, seperti contoh di Kampung Perepat ini (Rompin) selain jalan ke Muadzam Shah,” katanya yang memetik kira-kira 200 keping daun simpul setiap kali turun mencari.

 ?? [FOTO MUHAMMAD ASYRAF SAWAL/BH] ?? Kak Teh melayan pelanggan yang membeli nasi dagangnya di Bandar Lama Rompin.
[FOTO MUHAMMAD ASYRAF SAWAL/BH] Kak Teh melayan pelanggan yang membeli nasi dagangnya di Bandar Lama Rompin.
 ??  ?? Yuswadil Isma mencari daun simpul untuk membungkus nasi dagang.
Yuswadil Isma mencari daun simpul untuk membungkus nasi dagang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia