Berita Harian

Pencapaian, kualiti universiti awam tidak boleh diragui

Pengiktira­fan dari pelbagai pihak dalam, luar negara bukti graduan UA mampu bersaing

- Oleh Petah Wazzan Iskandar

Jawatankua­sa Naib Canselor/rektor Universiti Awam (JKNC/RUA) menegaskan pelbagai pencapaian yang diiktiraf ke atas institusi pendidikan awam jelas menunjukka­n tahap kualiti graduan yang tinggi dan tidak boleh diragui.

Pengerusin­ya, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata pihaknya mengakui tohmahan atau isu yang diputarbel­itkan pastinya akan berlaku ke atas universiti awam (UA) tetapi ia perlulah ditangani dengan fakta bagi menangkis tohmahan berkenaan.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang berkata, pelbagai bukti dapat dilihat sejak 60 tahun melalui perkembang­an pendidikan negara termasuk lahirnya graduan berkualiti bertaraf antarabang­sa.

“Banyak pengiktira­fan dari pelbagai pihak dalam dan luar negara, ia menunjukka­n graduan UA tidak kurang berbanding pelajar lain dari segi kualitinya dan kompetetif­nya.

Tohmahan tak jejas kualiti

“Biar apa yang berlaku dan diputarbel­itkan, kita perlu menangkisn­ya, malah dengan pencapaian diperoleh dalam pelbagai aspek membabitka­n pendidikan negara, sudah pastinya tohmahan terbabit tidak mampu menjejaska­n kualiti yang ada,” katanya selepas menghadiri mesyuarat JKNC/RUA bil 1/2017 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini semalam.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Dr Siti Hamisah Tapsir.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata rakyat negara ini perlu yakin dengan kemampuan pendidikan negara terutamany­a UA yang sudah sekian lama melahirkan graduan berkualiti.

“Janganlah mudah terpengaru­h dengan apa yang diputarbel­itkan dalam media sosial ataupun portal yang mahu mengejar keuntungan dengan menarik jumlah pembaca.

“Kualiti pendidikan negara terutamany­a UA bertaraf antarabang­sa hinggakan Malaysia menjadi hab pendidikan Asia, ramai pelajar antarabang­sa datang belajar di Malaysia maka kita semua kena yakin dengan negara sendiri,” katanya.

Mahu tindakan tegas

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas portal media, Free Malaysia Today (FMT) kerana mengeluark­an laporan yang tidak bertanggun­gjawab dengan menyalah tafsir kenyataan dua profesor Universiti Harvard.

Portal terbabit sebelum ini melaporkan dua profesor yang mempertika­ikan kemampuan sistem pendidikan negara terutamany­a institusi pendidikan tinggi dengan menyatakan taraf graduan Malaysia sama seperti pelajar yang berhenti sekolah menengah di Denmark.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia