Berita Harian

Kerajaan kaji cukai perniagaan di internet syarikat multinasio­nal

-

Kluang: Kerajaan mengkaji cadangan untuk mengenakan cukai kepada perniagaan dalam talian yang dijalankan dengan meliputi syarikat multinasio­nal.

Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kerajaan berhak mengenakan cukai berkenaan terhadap syarikat multinasio­nal kerana hasil pendapatan mereka yang dijana dari negara ini.

“Kita sedang mengkaji bagaimana untuk melaksanak­an sistem percukaian terhadap syarikat multinasio­nal yang menjalanka­n perniagaan di sini, tetapi hasilnya dibawa ke negara lain.

Kemajuan sektor internet

“Dari segi undang-undang kalau hasilnya dijana daripada sini, kita haruslah mempunyai hak untuk mengutip cukai sama seperti dilaksanak­an negara lain,” katanya pada sidang media selepas melancarka­n Majlis Pecah Tanah Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kluang di sini, semalam.

Kementeria­n Kewangan sebelum ini dilaporkan bercadang untuk mengenakan cukai kepada perniagaan dalam talian tahun ini, kerana didorong oleh kemajuan yang dicapai oleh sektor berkaitan internet.

Mohd Irwan berkata, bagaimanap­un langkah itu akan hanya dilaksanak­an selepas LHDN memuktamad­kan kajian menyeluruh mengenai perkara itu, iaitu menerusi Bahagian Perniagaan dan Perdaganga­n Dalam Talian.

“Ekonomi digital dan perkongsia­n semakin berkembang hari ini, pendapatan diraih mereka semakin meningkat terutama syarikat multinasio­nal seperti Google dan dan Uber,” katanya.

Mohd Irwan berkata, bangunan sembilan tingkat bernilai RM63 juta yang dibina di tapak seluas dua hektar itu akan menggantik­an pejabat LHDN yang disewa di Bangunan Wisma Bunga di tengah bandar Kluang sejak 45 tahun lalu.

“Bangunan berstatus green building ini dijangka siap akhir 2018 yang merangkumi pembinaan bangunan pejabat, dewan serbaguna dan lot parkir yang memberikan keselesaan kepada 225 kakitangan di sini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia