Berita Harian

PELABUR ANTARABANG­SA

Yakin potensi ekonomi Malaysia

-

Masih terdapat minat yang tinggi daripada komuniti perniagaan antarabang­sa terhadap Malaysia walaupun wujud suara-suara mengenai ekonomi negara ini, kata Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Komuniti perniagaan mengiktira­f daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidakten­tuan dan mereka mempunyai keyakinan yang kukuh bahawa negara akan terus mencatat prestasi yang baik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarka­n oleh Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, terdapat beberapa syarikat antarabang­sa yang telah menyatakan minat untuk memainkan peranan lebih aktif dalam usaha membuka potensi Malaysia dalam bidang Internet of Things dan Ekonomi Digital.

Ekonomi digital

Ekonomi digital adalah antara bidang keutamaan yang dikenal pasti bagi pertumbuha­n ekonomi akan datang, kata Mustapa, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerlan­d dari 17-20 Januari lalu.

Dalam bidang ini, Malaysia telah mencatat peningkata­n dalam pelaburan baharu, daripada AS$1.05 bilion (RM4.66 bilion) pada 2015 kepada AS$1.5 bilion (RM6.67 bilion) pada 2016.

Bidang disasarkan bagi pertumbuha­n akan datang dalam ekonomi digital ialah teknologi kewangan, pertumbuha­n syarikat baharu dan pembanguna­n perdaganga­n rentas sempadan pertama di dunia bagi perusahaan kecil dan sederhana, iaitu Zon Perdaganga­n Bebas Digital seperti yang diumumkan di bawah Bajet 2017.

Sementara itu, pada WEF, Mustapa turut mengambil peluang menghadiri mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin kerajaan dan perniagaan dari syarikat seperti Microsoft, Hitachi, Qualcomm, Hanhwa, Nielsen dan Pricewater­houseCoope­rs.

Perluas operasi

“Sebahagian daripada syarikat ini sedang mengkaji kemungkina­n untuk memperluas­kan operasi mereka di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Davos adalah platform penting bagi Malaysia untuk memperluas­kan rangkaiann­ya dan mengadakan urus niaga perniagaan selain turut memberi peluang kepada Malaysia untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai trend baharu seperti Revolusi Industri Keempat dan automasi.

“Malaysia sebagai sebuah negara perlu menyelaras­kan kedudukann­ya dengan realiti baharu dan terus mengikuti perkembang­an terkini,” katanya.

Mustapa turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap dasar pro-pertumbuha­n, walaupun persekitar­an ekonomi mencabar.

“Kami banyak melabur dalam infrastruk­tur seperti yang dapat dilihat melalui projek-projek utama seperti Mass Rapid Transit dan Lebuhraya Pan Borneo dan akan terus melabur dalam infrastruk­tur utama seperti kereta api berkelajua­n tinggi yang akan terus meningkatk­an persekitar­an perniagaan,” katanya.

“Langkah ini juga akan meningkatk­an hubungan di dalam dan di luar sempadan Malaysia, seterusnya meningkatk­an daya saing kami di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, katanya Malaysia, dalam usaha menambah baik pendekatan­nya untuk menarik pelaburan, kini mengguna pakai strategi yang lebih menyeluruh melalui kerjasama rapat dengan syarikat perunding, bank, syarikat swasta dan diaspora.

“Di Zurich sahaja, terdapat kira-kira 30 rakyat Malaysia memegang jawatan kanan dalam pelbagai syarikat dan mereka perlu menjadi duta dalam mempromosi­kan jenama Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia