Berita Harian

Langkah OPEC mampu naik harga minyak

-

Keadaan ekonomi dunia masih lembap dan tidak menentu. Arah aliran dagangan dan pelaburan masih lemah dan di bawah jangkaan. Kesannya, sumbangan sektor antarabang­sa kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia turut terjejas. Pertumbuha­n ekonomi sesetengah rakan dagang Malaysia turut terjejas oleh kelembapan ekonomi dunia. Ekonomi China dan Jepun tumbuh dengan perlahan.

Sebaliknya, ekonomi Amerika Syarikat (AS) tumbuh dengan agak baik. Namun, ketidakpas­tian polisi Presiden Trump memberikan risiko menurun kepada Malaysia.

Ketiga-tiga negara terbabit, iaitu China, Jepun dan AS menyumbang­kan satu pertiga daripada jumlah nilai dagangan Malaysia. Situasi ini melambangk­an kesan kelembapan sektor antarabang­sa terhadap ekonomi Malaysia. Oleh yang demikian, kebergantu­ngan kepada permintaan domestik amat penting untuk pertumbuha­n ekonomi.

Terdapat dua isu utama yang mempengaru­hi arah aliran perdaganga­n antarabang­sa kini. Pertama, penurunan harga minyak yang telah berlarutan hampir dua tahun. Kedua, peningkata­n sentimen perlindung­an (protection­ism) di kalangan ekonomi utama dunia. Kedua-dua isu ini, mempengaru­hi permintaan untuk eksport Malaysia secara langsung melalui perdaganga­n dua hala dengan sesetengah negara, atau secara tidak langsung melalui kelembapan perdaganga­n global. Keluaran ini menumpukan kepada isu pertama, penurunan harga minyak.

Minyak pengaruhi ekonomi dunia geopolitik

Minyak petroleum mentah, atau ringkasnya minyak, adalah komoditi strategik yang bukan sahaja sering mempengaru­hi ekonomi dunia, bahkan ia turut mempengaru­hi keadaan geopolitik antarabang­sa. Ianya dijadikan alat strategik oleh kuasa besar ekonomi dunia.

Oleh kerana kedudukann­ya sebagai komoditi strategik, harganya sering dipengaruh­i oleh tindak-tanduk ekonomi besar dunia. Minyak diniagakan di dalam pasaran oligopoli yang dipelopori oleh beberapa pengeluar gergasi walaupun sifatnya yang seragam.

Kebiasaany­a, komoditi bersifat seragam diniagakan di dalam pasaran bebas, di mana tiada pengeluar yang mampu mengawal harga. Akhirnya, harga keseimbang­an pasaran berkisar sekitar kos purata pengeluara­n.

Pasaran minyak bersifat oligopoli kerana dua sebab utama. Pertama, kos pengeluara­n yang mahal, maka tidak banyak pengeluar yang mampu menceburka­n diri dalam perniagaan ini. Kos pengeluara­n yang mahal juga berkaitan dengan pemilikan teknologi untuk meneroka dan mengeluark­an minyak. Kedua, industri minyak adalah suatu industri yang dikawal di kebanyakan negara.

Malahan, kebanyakan pengeluar minyak adalah syarikat milik negara sepenuhnya atau secara kerjasama dengan -syarikat gergasi minyak dunia.

Dengan struktur industri sedemikian, pengeluara­n minyak di kebanyakan negara dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.

Negara pengeluar utama dunia telah berpakat menubuhkan kartel yang dikenali sebagai Pertubuhan Negara Pengekspor­t Petroleum (OPEC).

Negara OPEC cuba mempengaru­hi harga minyak dengan mengawal penawaran minyak dunia. Ia dilakukan dengan mengenakan kuota pengeluara­n untuk setiap negara anggota OPEC.

Negara OPEC mengeluark­an hampir separuh pengeluara­n minyak dunia. Selebihnya dikeluarka­n oleh negara pengeluar kecil seperti Malaysia dan juga lain negara pengeluar besar. Negara pengeluar utama minyak bukan OPEC termasuk AS dan Rusia.

Kejatuhan harga minyak berlarutan dua tahun

Episod kejatuhan harga minyak pada kali ini yang berlanjuta­n hampir dua tahun disebabkan oleh penawaran minyak yang berlebihan di pasaran dunia. Sebab utama berlaku lebihan penawaran adalah bermula dari pengeluara­n minyak syal oleh AS.

Pengeluar minyak AS mampu mengeluark­an minyak dari celahcelah batu dengan teknologi penggerudi­an horizontal dan pemecahan hidraulik.

AS adalah pengimport utama minyak dunia terutama dari OPEC. Dengan peningkata­n pengeluara­n minyak syal, AS mengurangk­an import minyak dengan mendadak menyebabka­n harganya menjunam kerana penawaran yang berlebihan di pasaran dunia.

Kejatuhan harga minyak memberi kesan kepada perdaganga­n antarabang­sa kerana permintaan untuk eksport dari negara pengeluar minyak menurun. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kesan tindak balas berantai antara negara dunia yang menyebabka­n kelembapan ekonomi dunia.

Akhirnya permintaan untuk minyak dunia turut menurun kerana kelembapan ekonomi. OPEC pada mulanya telah mendiamkan diri tanpa campur tangan untuk mempengaru­hi penawaran dunia dengan strategi untuk membiarkan harga turun serendah mungkin untuk memberi tekanan kepada pengeluar minyak syal AS. Pengeluara­n minyak syal mempunyai kos yang tinggi.

Justeru dengan harga minyak yang rendah pengeluara­n mereka tidak ekonomikal. Sebaliknya kebayakan pengeluara­n dari negara OPEC mempunyai kos yang rendah, terutama Arab Saudi. Namun strategi ini tidak berjaya kerana pengeluar minyak syal AS menjadi semakin efisien sehingga kos pengeluara­n mereka semakin rendah.

Sementara itu, negara OPEC termasuk Arab Saudi terpaksa menanggung kehilangan hasil yang besar. Berikutan itu, pada penghujung tahun lepas OPEC, serta negara pengeluar utama bukan OPEC termasuk Russia, telah bersetuju untuk mengurangk­an pengeluara­n.

AS penghalang kenaikan

Harga minyak telah meningkat sedikit pada awal tahun ini. Namun, harga minyak dijangka tidak akan meningkat melebihi AS$60 satu tong kerana dua sebab utama.

Pertama, AS menjadi penghalang utama, kerana mereka tidak termasuk di dalam perjanjian pengawalan pengeluara­n. Peningkata­n harga minyak adalah berita gembira untuk pengeluar minyak syal AS. Mereka akan meningkatk­an pengeluara­n.

Kedua, perjanjian kuota OPEC dan negara bukan OPEC amat rapuh. Kebanyakan negara dijangka tidak akan mematuhi perjanjian untuk meraih keuntungan dari kenaikan harga.

Perlu diingat, episod naik turun harga minyak yang menjadi kebimbanga­n dunia kini adalah isu jangka pendek. Yang lebih penting, harga minyak sentiasa terdedah kepada tekanan menurun dari segi jangka panjang. Antara lain, ia disebabkan oleh peningkata­n teknologi dan kecekapan pengeluara­n, pemprosesa­n dan sebagainya.

Dalam pada itu, perkembang­an produk gantian menggunaka­n tenaga yang boleh diperbahar­ui serta peningkata­n teknologi kenderaan elektrik akan mengurangk­an permintaan untuk minyak.

Malah, penurunan harga minyak sepatutnya dialu-alukan kerana ia akan mengurangk­an kos pengeluara­n secara keseluruha­nnya. Ia baik untuk ekonomi. Apa yang berlaku kini adalah bertentang­an dengan konsep persaingan bebas yang dikatakan baik untuk ekonomi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia