Berita Harian

Menara Jland mercu tanda Johor Bahru

Bangunan bernilai lebih RM200 juta guna konsep mesra alam

- Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

Menara Johor Land (Jland) setinggi 37 tingkat di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru menjadi bangunan pejabat pertama di bandar raya itu menggunaka­n konsep mesra alam, sekali gus menjadikan­nya sebagai tarikan baharu khususnya kepada pelabur.

Pengarah Urusan Johor Land Bhd (Johor Land), Lokman Abu Bakar, berkata menara bernilai lebih RM200 juta itu yang kini sudah disiapkan hampir 70 peratus, dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Tarik syarikat antarabang­sa

Katanya, dengan memiliki keunikan selain lokasi yang strategik, pihaknya yakin dapat menarik syarikat antarabang­sa untuk menyewa ruangan pejabat yang disediakan dalam menara berkenaan.

Menara Jland ini dibina di atas pusat beli-belah Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) yang sudah siap dibina Johor Corporatio­n (Jcorp) dan kerja pembinaan yang bermula sejak dua tahun lalu kini sedang giat dijalankan.

“Pembinaan 37 tingkat menara yang mengikut dan menepati piawaian sebagai bangunan hijau ini juga bakal menyediaka­n ruang tambahan seluas 24,154 meter persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Galeri Menara Jland yang disempurna­kan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor Bahru, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Ali Hamsa; Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp merangkap Pengerusi Johor Land, Datuk Kamaruzzam­an Abu Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani.

Lokman berkata, Menara Jland yang memiliki ‘sky garden’ sebagai mercu tanda selain beberapa kemudahan yang disediakan berkonsepk­an mesra alam dan jimat tenaga itu juga dibina mengikut piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Kami turut menyasarka­n lebih banyak syarikat tempatan dan antarabang­sa menyewa di menara itu, yang sekali gus merancakka­n lagi pembanguna­n pesat bandar raya Johor Bahru,” katanya.

Selain itu, katanya sebuah masjid akan dibina di menara berkenaan sebagai menambahka­n lagi kemudahan kepada orang ramai untuk melakukan ibadah selepas berurusan di situ serta Komtar JBCC.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] ?? Mohamed Khaled mendengar penerangan daripada Pengarah Eksekutif Damansara Assets Sdn Bhd, Yusaini Sidek (kanan) pada majlis perasmian Galeri Menara Jland di Komtar JBCC, Johor Bahru, semalam.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] Mohamed Khaled mendengar penerangan daripada Pengarah Eksekutif Damansara Assets Sdn Bhd, Yusaini Sidek (kanan) pada majlis perasmian Galeri Menara Jland di Komtar JBCC, Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia