Berita Harian

Denggi ragut nyawa ibu, bapa selang sehari

Tiga beradik kini jadi yatim piatu sekelip mata

- Oleh Nur Izzati Mohamad

Tiga beradik yang menetap di Pangsapuri Taman Delima Indah dekat sini, kini menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia selang sehari akibat denggi, minggu lalu.

Nor Hidayah Azlan, 23, berkata bapanya, Azlan Md Din, 49, dan ibu, Normah Amiruddin, 45, masing-masing menghembus­kan nafas terakhir di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 16 dan 17 Januari lalu.

Beliau berkata, adik bongsunya, Mohd Firdaus, 14, juga mengalami demam sama sehingga terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Bagaikan satu mimpi

“Apa yang berlaku bagaikan mimpi, hilang ibu dan ayah selang sehari. Namun, kami reda walaupun terlalu perit untuk diterima.

“Pada mulanya, ayah mengadu demam dan lemah badan sebelum ibu dan adik bongsu turut mengalami simptom sama.

“Mereka kemudian dimasukkan ke HSJ sebelum adik dipindahka­n ke HPP kerana terlalu lemah. Ayah meninggal Isnin minggu lalu sebelum ibu pula menyusul sehari selepas itu,” katanya sebak ketika ditemui BH di sini, semalam.

Adik kembali pulih

Pelajar Kolej Poly-tech MARA (KPTM) di Ipoh ini yang terpaksa bercuti sejak dua minggu selepas keadaan ibu bapanya tenat, bersyukur kerana adiknya kembali pulih sebelum dibenarkan pulang kelmarin.

“Kami tiga beradik yang semua masih belajar terpaksa menghadapi ujian berat ini dan perlu memperkuat­kan diri untuk menempuhi kehidupan mendatang dengan bantuan saudara mara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perbadanan Pangsapuri Taman Delima Indah, Yahya Othman berkata, pihaknya terkejut apabila dimaklumka­n berita itu kerana perumahan berkenaan sentiasa dalam keadaan bersih dan dijaga rapi sehingga dinobatkan pangsapuri terbaik.

“Persekitar­an luar mungkin menyebabka­n denggi merebak ke kawasan ini.

“Saya berharap kejadian ini jadi iktibar untuk seluruh penduduk di kawasan ini jaga kebersihan, tidak membiarkan air bertakung dan ambil langkah pencegahan denggi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia