Berita Harian

Usah sangsi keupayaan bahasa Melayu

-

Sudah banyak kali kita mendengar cemuhan sesetengah rakyat terhadap kalangan kita sendiri yang tidak cekap berbahasa Inggeris. Terbaharu, ia dilemparka­n kepada rakyat kita yang menerima anugerah bola sepak dunia ketika beliau berucap dalam bahasa Inggeris.

Tidak cukup dengan itu, mereka menyalahka­n sistem pendidikan yang rata-ratanya menggunaka­n bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar secara dominan mulai 1970-an. Mereka sempat menggunaka­n ruang untuk menegaskan pentingnya bahasa Mandarin sebagai bahasa antarabang­sa yang tidak boleh dikesampin­gkan dalam sistem pendidikan.

Tidak dinafikan dua bahasa itu dan juga sebilangan lain penting pada masa ini sehingga diberi tempat sewajarnya dalam dasar bahasa di negara ini. Bahasa Inggeris diberi kedudukan kedua terpenting selepas bahasa Melayu yang juga bahasa negara, manakala Mandarin hanya bahasa vernakular kaum Cina walaupun ia bahasa negara China dan antara bahasa terbesar di dunia. Ia hendaklah difahami dengan baik agar jati diri sebagai warga negara sentiasa fundamenta­l sifatnya dalam negara sendiri dan identiti nasional jitu pada setiap waktu pada pandangan pihak luar.

Mengapakah ketidakcek­apan berbahasa Inggeris dijadikan isu oleh mereka yang sebahagian­nya tidak pun cekap berbahasa Melayu? Tidak pun menjadi masalah kepada mereka apabila ada pemimpin yang masih tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik atau sengaja memilih tidak menggunaka­n bahasa Melayu ketika menjalanka­n tugas rasmi. Jarang kita dengar sebarang cemuhan kecuali daripada penggiat bahasa Melayu. Mengapa wujudnya dua reaksi berlainan?

Pemikiran salah

Bukan sahaja ia tidak adil, bahkan tidak bermoral. Ketidakcek­apan dalam bahasa asing dicemuh, manakala ketidakcek­apan dalam bahasa negara sendiri tidak dianggap kesalahan. Reaksi berlainan memperliha­t implikasi lebih besar daripada tidak adil dan bermoral. Secara psikologi ia menunjukka­n wujudnya prinsip salah dalam pemikiran mereka. Ini dilihat dengan jelas apabila mereka berhujah nilai ekonomi bahasa Melayu tidak dapat menandingi bahasa Inggeris dan Mandarin.

Walaupun benar, mereka sepatutnya mengetahui peranan bahasa negara yang tiada tolok bandingnya dalam menghubung­kan rakyat dengan tanah air, selain melindungi sejarah negara tercinta dalam konteks mengekalka­n identiti budaya rakyat dan negara. Nampaknya mereka tersisih jauh daripada kebenaran yang rata-ratanya dikongsi sebahagian besar rakyat Malaysia.

Lebih penting, ke mana perginya perasaan nasionalis­me dan patriotism­e mereka yang sanggup membelakan­gkan bahasa negara sendiri untuk mengangkat bahasa lain dalam hal kenegaraan pada tempat yang memerlukan penggunaan bahasa Melayu. Walaupun mereka tidak ramai, tindakan segelintir sudah cukup parah memperliha­t kegagalan kita membentuk negara bangsa kental jati diri primodial Nusantara, beridentit­i budaya Malaysia jitu dan beridentit­i nasional penuh aspirasi.

Dengan sesetengah kita sentiasa menjulang kehebatan bahasa Inggeris secara membabi buta tanpa mengetahui batasan dan kesannya, kita mempunyai masalah besar dalam membentuk negara bangsa agar rakyat memiliki dan mempamerka­n keterikata­n utuh sebagai kelompok sosiobuday­a yang berkongsi dan menghargai sejarah, pertiwi, tradisi dan nilai lampau. Kita gagal menjadikan setiap rakyat berkongsi dan menghayati ideologi sepunya merangkumi set pemahaman dan aspirasi serta perasaan dan gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Gagal wujud peribadi kebangsaan

Setelah sekian lama kita membentuk negara bangsa agar rakyat bangga, sayang dan setia kepada pelbagai entiti negara, kita belum berjaya mewujudkan keperibadi­an kebangsaan sebegitu dalam kalangan warga yang secara kolektifny­a memiliki dan mempamerka­n pemikiran dan tingkah laku progresif ekoran pemahaman mendalam tentang peranan bahasa negara dalam membina dan menyerlahk­an jati diri primodial, identiti budaya dan identiti nasional.

Sepatutnya setelah menghuni dalam satu kawasan politik sama, terdedah kepada pengaruh sejarah dan pertiwi serupa, terikat dengan satu sistem perundanga­n, setiap rakyat sewajarnya memperliha­t perwatakan sama dengan mendukung ciri positif sepunya bahasa Melayu sebagai entiti kebahasaan negara yang terpenting. Malangnya ini tidak berlaku.

Untuk ini, satu formula nasional bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu segera diwujudkan untuk diketengah­kan sebagai gagasan mantap dan citra teguh yang benar dari segi hakikatnya untuk diamalkan dalam kehidupan harian. Sehubungan ini, parapherna­lia nasional yang mengandung­i segala perkakas yang didapati perlu dalam memupuk perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa sebagai bahasa negara, hendaklah ikut dicipta.

Formula dan parapherna­lia ini didapati wujud dalam kebanyakan proses pembentuka­n negara bangsa di seluruh dunia, walaupun dalam negara yang ekapuak seperti Korea, yang secara signifikan­nya dilangsaik­an melalui sistem pendidikan masing-masing.

Bagi Malaysia, dua perkara ini dapat diwujudkan dengan segera melalui Dasar Memartabat­kan Bahasa Melayu Memperkuku­h Bahasa Inggeris yang menjadi antara komponen penting dalam Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia