‘Integriti, maruah saya tercabar’
Kota Bharu: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bersedia mempertahankan maruah dan integriti rekod perkhidmatan bersihnya setelah diserang dengan 'fitnah' menggunakan dana pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menaja The Red Warriors (TRW) musim lalu.
Beliau berkata, senario pembabitannya dalam dunia bola sepak dan politik sedikit tercalar berikutan fitnah berkenaan yang didakwanya tidak masuk akal.
“Saya bukan ada pangkat atau harta malah harga diri saya adalah nilai integriti dan rekod perkhidmatan bersih serta bebas kesalahan salah guna kuasa.
Ada cara sendiri
“Apabila difitnah ia menjejaskan perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat yang berkhidmat kepada rakyat, malah sudah tentu kejujuran saya dipersoal rakyat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, kelmarin.
Mengulas mengenai kesediaan beliau bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Annuar yang juga bekas Presiden KAFA enggan mengulas mengenainya.
Bagaimanapun, katanya, beliau ada cara dan pendirian sendiri dalam memenuhi tugas dan tanggungjawab sekali gus pertandingan berlaku dalam suasana harmoni seperti tiada kempen dan perhimpunan untuk melobi calon bertanding.
Katanya, kesemua 39 perwakilan yang hadir masing-masing sudah kenal satu sama lain ibarat 'keluarga' bola sepak semestinya mengamalkan proses demokrasi dalam pemilihan kongres FAM itu nanti.
“Soal integriti dan bersih dalam perkhidmatan harus bermula sejak proses pemilihan supaya kejujuran dalam mengetuai organisasi terserlah ketelusannya,” katanya.