Parti berdepan krisis ketidakpercayaan
Tindakan empat wakil rakyat DAP di Melaka yang keluar parti itu kelmarin kerana hilang keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi mengendalikan isu luaran dan dalaman parti, pasti memberi tamparan hebat kepada kepemimpinan parti berkenaan.
Keputusan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong itu juga pasti memaksa
DAP menyemak kembali strukturnya dan mendengar pandangan pemimpin akar umbi.
Parti pembangkang itu didakwa sudah berubah haluan daripada matlamat asal dan tidak lagi mengamalkan prinsip demokrasi dalam mengambil kira pandangan pemimpin lain.
Selepas melihat beberapa adegan dalam DAP sejak 2016, persoalan yang timbul ialah apakah nasib bakal ditimpa parti pembangkang itu jika ada wakil rakyatnya yang lain bertindak seperti apa yang berlaku di Melaka.
Ini kerana, ramai yang tidak bersetuju dengan rentak kepemimpinan tinggi parti berkenaan bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Itu juga antara punca episod yang tercetus di Melaka dan keputusan meninggalkan DAP dianggap ‘terbaik’ bagi empat wakil rakyat berkenaan dalam menangani krisis politik dalaman parti itu.
Kerjasama baharu DAP dengan PPBM dijangka melemahkan DAP dan akan membawa masalah struktur dalaman serius serta berpanjangan, yang sekian lama disembunyikan oleh sesetengah pemimpin mereka.
Sebelum ini, Tong Him dan Leong San pernah digantung setahun kerana berulang kali membuat kenyataan yang didakwa merosakkan reputasi DAP. Umum tahu, keputusan politik DAP ditentukan kem Lim Kit Siang, termasuk juga hubungan dengan PPBM.
Hubungan dengan parti diterajui Dr Mahathir itu mengulangi episod sama ketika DAP menjalin kerjasama dengan PAS. Ketika itu, ada dakwaan PAS menang banyak kerusi disebabkan undi kaum Cina yang bersama DAP.
Di samping itu, pelbagai sumber mendakwa campur tangan pemimpin pusat DAP dalam uru- san parti di Melaka menyebabkan perpecahan dalam kalangan pemimpin dan anggota parti di negeri berkenaan.
DAP berpecah-belah
Perkembangan terkini di Melaka jelas menunjukkan situasi sebenar politik DAP yang sedang berpecah-belah dan mencapai kemuncaknya berikutan rasa tidak puas hati terhadap Kit Siang dan anaknya, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung parti.
DAP bakal berhadapan krisis tidak boleh dipercayai dalam kalangan pengundinya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Rakyat juga sedang menyaksikan kepemimpinan DAP membuat strategi menghadapi pilihan raya umum dengan berkongsi pentas bersama pemimpin yang pernah menghentam parti itu suatu ketika dahulu.
Rakyat juga sedang menilai tahap kebolehpercayaan mereka terhadap wakil rakyat DAP sedia ada berikutan perkembangan politik terbaru ini. Ia turut menjadi titik tolak kepada ahli lain memikirkan kedudukan dan masa depan mereka dalam DAP.
Persoalannya adakah pimpinan atasan DAP mampu berbincang atau memujuk mereka kembali ke pangkuan parti berkenaan? Yang jelas, mereka sudah hilang keyakinan terhadap dasar dan prinsip yang diamalkan oleh pemimpin DAP.
Soal prinsip DAP dan Pakatan Harapan dipertikaikan sejak wujudnya pakatan di antara Dr Mahathir dan Kit Siang. Percaturan politik pembangkang melihat penggunaan agenda politik peribadi dengan mengorbankan kepentingan pengundi.
Ia juga jelas menunjukkan sikap sebenar kepemimpinan parti itu yang membuat keputusan untuk kepentingan diri tanpa mengambil kira pihak lain.
Walaupun keputusan empat wakil rakyat di Melaka itu dianggap tidak mengejutkan, tindakan berani mereka mengundang jangkaan lebih ramai anggota DAP akan turut berbuat demikian kerana tidak lagi sehaluan dengan pucuk pimpinan tertinggi.
Mungkin ramai juga pemimpin DAP sedia ada tidak sependapat dengan langkah baharu parti berkenaan. Bagi pengundi pula, kekecewaan mereka kepada DAP mungkin diterjemahkan apabila tiba PRU-14 nanti.