Berita Harian

Bayi lemah otot sejak lahir derita pelbagai penyakit

Nurul Damia berusia 2 tahun tak mampu telan air liur sendiri, berat hanya 3.3 kilogram

- Oleh Siti Rohana Idris bhkb@bh.com.my

Usianya sudah mencecah dua tahun, namun berat badan Nurul Damia Irdina Mohamad Izuan hanya 3.3 kilogram (kg) disebabkan penyakit ‘hypotonia’ atau masalah otot lemah, sejak lahir.

Dilahirkan tidak cukup umur, ketika usianya baru tujuh bulan dengan berat 1.29kg, Nurul Damia Irdina sudah mengalami pelbagai komplikasi, antaranya paru-paru kronik dan pada saluran pencernaan yang menyebabka­nnya sukar menelan makanan atau minuman.

Disebabkan masalah itu, anak sulung daripada dua beradik ini terpaksa menjalani pembedahan perut ketika usianya baru setahun bagi memasang tiub untuk memudahkan makanan disalurkan.

Hanya minum susu

Ibunya, Suriati Awang, 29, berkata sehingga kini anaknya menghadapi masalah menelan, walaupun air liur sendiri akibat masalah saluran pernafasan sempit.

“Setiap tiga jam, dia hanya minum susu dicampur bijirin Nestum sebanyak 75 mililiter (ml) menggunaka­n tiub yang dipasang pada badannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Batang, di sini semalam.

Sayu hati melihat Nurul Damia Irdina hanya mampu terbaring, tidak banyak kerenah dan asyik menonton siri kartun kanak-kanak kegemarann­ya, Upin Ipin. Sesekali, dia menoleh apabila namanya dipanggil.

Suriati berkata, dari segi mental, anak sulungnya sama seperti kanak-kanak normal lain, bezanya cuma pada fizikal dengan berat badan dua kali ganda lebih ringan berbanding adiknya, Nurul Inas Insyirah yang berusia 10 bulan.

Belanja lebih RM500

Ditanya kos bagi menguruska­n Nurul Damia Irdina, suri rumah ini berkata, kosnya agak tinggi buat mereka, tambahan pula suaminya, Mohamad Izuan Mohd Hamdan, 28, hanya anggota tentera di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.

“Setiap bulan, kami belanjakan lebih RM500 termasuk susu, Nestum dan lampin pakai buang untuk Nurul Damia Irdina seorang. Namun, sejak setahun lalu, kami dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

 ?? [FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR/BH] ?? Suriati dan Mohamad Izuan bersama Nurul Damia Irdina (kanan) yang mengalami pelbagai komplikasi ketika ditemui di rumah mereka, di Kampung Kubang Batang, Tumpat.
[FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR/BH] Suriati dan Mohamad Izuan bersama Nurul Damia Irdina (kanan) yang mengalami pelbagai komplikasi ketika ditemui di rumah mereka, di Kampung Kubang Batang, Tumpat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia