Berita Harian

Sembunyi dadah dalam lori AADK elak ditahan

Pengunjung pusat hiburan sempat buang bahan terlarang sebelum dibawa ke lokasi tahanan

- Oleh Fatin Fazlina Yaakob bhnews@bh.com.my

Sesetengah pengunjung pusat hiburan yang digempur Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Goncang berakhir awal pagi semalam, sempat menyembuny­ikan dadah dibawa mereka di ruang tersembuny­i dalam lori AADK.

Mereka dipercayai berbuat demikian ketika berada dalam kenderaan terbabit untuk dibawa ke lokasi tahanan selepas dikesan kesan positif dadah menerusi ujian air kencing yang dilakukan.

Ketua Penguatkua­sa dan Keselamata­n AADK Pulau Pinang, Nashruddin Abdul Rahman, berkata ada juga individu yang ditahan sempat membuang dadah bersama mereka sebelum dibawa ke lokasi tahanan.

Serbuan sehingga jam 5 pagi

“Serbuan bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi tadi (semalam), memeriksa seramai 180 individu. Hasil pemeriksaa­n itu, 140 individu berusia 22 hingga 55 tahun, termasuk wanita dikesan positif dadah dipercayai jenis ‘methamphet­amine’ dan morfin.

“Kami turut menemui 12 biji pil eramin, lapan paket ketamin dan 10 biji ‘pil goyang’ yang disembunyi­kan di dalam lori AADK. Ada juga yang sempat membuang dadah berkenaan sebelum dibawa ke lokasi tahanan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Bangunan Persekutua­n, di sini semalam, beliau berkata, operasi yang menyasarka­n pusat hiburan di Relau dan Pulau Tikus itu adalah yang pertama dijalankan secara besar-besaran sempena sambutan Hari Anti Dadah Sedunia.

Kenal pasti penagih dadah

“Operasi dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) ini juga bagi mengenal pasti penagih dadah dalam pengawasan pihak berkuasa serta yang gagal hadir ke mahkamah dan melapor diri kepada AADK atas kesalahan dadah,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 Pindaan 1998.

 ?? [FOTO ZULAIKHA ZAINUZMAN/BH] ?? Sebahagian pengunjung pusat hiburan yang dikesan positif dadah ditahan ketika serbuan Ops Goncang AADK Pulau Pinang di sekitar Georgetown, awal pagi semalam.
[FOTO ZULAIKHA ZAINUZMAN/BH] Sebahagian pengunjung pusat hiburan yang dikesan positif dadah ditahan ketika serbuan Ops Goncang AADK Pulau Pinang di sekitar Georgetown, awal pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia