Berita Harian

Isteri khuatir suami jatuh laut ketika memancing

Bot gentian dinaiki kakitangan UNISZA ditemui terdampar tepi pantai

- Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin hanneeyzah@bh.com.my

“Patutlah saya rasa tidak sedap hati ketika dia mahu turun ke laut pagi semalam (kelmarin), rupa-rupanya petanda perkara buruk akan berlaku.”

Demikian kata Kasiah Harun, 45, yang juga isteri kepada Wan Abd Manan Wan Ahmad, 49, pembantu awam di Jabatan Pengurusan Pembanguna­n (JPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di sini, yang hilang selepas turun ke laut sejak jam 6.30 pagi kelmarin.

Wan Abd Manan keluar ke laut menerusi Jeti Seberang Takir di sini. Beliau yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan kolesterol, dikhuatiri rebah dan terjatuh ke laut, kerana bot gentian digunanya ditemui terdampar di Pantai Teluk Ketapang dekat sini, pagi semalam.

Kasiah yang bekerja sebagai pembantu penyelia Agensi Transforma­si Rakyat Terengganu (ATRA) Seberang Takir, berkata suaminya memang sering ke laut untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjual ikan.

“Kebiasaann­ya, setiap hujung minggu dia ke laut seawal jam 6.30 pagi sebelum pulang jam 7 malam. Semalam, saya rasa curiga apabila dia tidak balik, manakala usaha menghubung­i telefon bimbitnya mulai jam 8.30 hingga 10 malam tidak berjawab,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seberang Takir, malam kelmarin.

Rakan terserempa­k mangsa

Kasiah berkata, beliau ada menghubung­i beberapa rakan suaminya yang memaklumka­n terserempa­k dengan Wan Abd Manan di tengah laut pada sebelah pagi dan tengah hari kelmarin, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Bomba Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 11.56 malam kelmarin, sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat pada jam 12 tengah malam.

“Pagi ini, kita teruskan operasi dengan kekuatan 60 anggota Bomba, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam serta bantuan penduduk kampung.

“Kita sudah menemui bot yang digunakan mangsa, terdampar di Pantai Teluk Ketapang tetapi operasi pencarian agak sukar kerana kita tidak pasti lokasi sebenar mangsa terjatuh,” katanya.

 ?? [FOTO ROZAINAH ZAKARIA/BH] ?? Mohamad Zulkhairul (kiri) bersama anggota memantau operasi mencari Wan Manan yang hilang ketika keluar memancing di Pantai Teluk Ketapang, semalam.
[FOTO ROZAINAH ZAKARIA/BH] Mohamad Zulkhairul (kiri) bersama anggota memantau operasi mencari Wan Manan yang hilang ketika keluar memancing di Pantai Teluk Ketapang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia