Berita Harian

Pegawai polis sesat turun gunung ditemui selamat

-

Kajang: Seorang pegawai polis yang sesat ketika menuruni Gunung Nuang dekat Hulu Langat pagi kelmarin, ditemui selamat, pagi semalam.

Senior Asisten Komisioner Che Yusof Che Ngah, 57, yang juga pegawai pengiring kepada Yang dipertuan Agong, ditemui anggota penyelamat, pada jam 9.50 pagi, pada jarak 500 meter dari puncak lokasi pendakian.

Beliau dilaporkan hilang selepas mendaki puncak gunung berkenaan pagi kelmarin, bersama dua anaknya, Nuramalin dan Luqman Hafifi.

Daki gunung bersama anak

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata mangsa mendaki gunung berkenaan bersama dua anaknya mulai jam 7.30 pagi kelmarin.

“Mangsa sampai dahulu di puncak Gunung Nuang pada jam 11.45 pagi sebelum bergerak turun semula kira-kira 10 minit kemudian.

“Anak-anaknya pula hanya tiba di puncak gunung itu sejam kemudian sebelum turun semula 30 minit selepas itu.

“Bagaimanap­un, ketika tiba di bawah pada jam 7.15 malam kelmarin, dua beradik itu mendapati bapa mereka tiada di situ.

“Mereka kemudian menerima pesanan menerusi Whatsapps daripada bapa yang memaklumka­n dia sesat di gunung berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Othman berkata, gerakan mencari dan menyelamat dilancar sebaik menerima laporan pada jam 10.46 malam kelmarin tetapi dihentikan berikutan lewat malam dan cuaca gelap.

Mangsa mendaki gunung itu bersama dua anaknya mulai jam 7.30 pagi kelmarin” Othman Nanyan, Ketua Polis Daerah Kajang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia