Berita Harian

UNCLEZAM FROZEN

Sasar disenarai di Bursa Malaysia

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

Dalam perniagaan, memasang cita-cita besar untuk menjadikan syarikat sebagai firma berpengaru­h dalam bidang berkaitan sudah pasti menjadi matlamat utama apabila seseorang bergelar usahawan.

Tidak kira berapa besarnya misi utama yang ditetapkan meskipun adakalanya ia mungkin satu angan-angan kosong, tetapi sasaran untuk mencapainy­a perlu digabungka­n dengan usaha dan komitmen bagi memastikan apa jua yang dihajati tercapai mengikut tempoh yang ditetapkan.

Bagi Pengasas Unclezam Frozen Food Network Sdn Bhd dan Zamsaham Hotel & Resort, Norizam Tukiman, menjadikan syarikat yang dibangunka­n hasil titik peluhnya sendiri sebagai firma senaraian awam di Bursa Malaysia adalah matlamat utamanya.

Manfaat pengalaman

Untuk mencapainy­a, pasti memerlukan daya usaha yang sangat jitu kerana tidak ramai usahawan Bumiputera yang terbabit dalam industri makanan disenaraik­an di bursa tempatan.

Meskipun ia misi sukar, anak kelahiran Johor Bahru itu memiliki ilmu yang berguna memandangn­ya beliau terbabit secara langsung dalam pasaran saham sebagai seorang remisier sejak 17 tahun lalu hingga kini.

“Segala-galanya akan berpaksika­n saham dan penyenarai­an kerana dari situ saya membangun. Saya mahu jadikan Unclezam Frozen dan Zamsaham Hotel sebagai entiti awam dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Sasaran saya untuk menjadi peneraju dalam industri sejuk beku dan perhotelan halal yang pertama disenaraik­an di Bursa Malaysia. Oleh kerana tidak banyak syarikat halal Bumiputera di senaraikan di Bursa Malaysia setakat ini,” katanya.

Tidak hanya sasaran itu, Norizam yang lebih dikenali sebagai Zam Saham dalam kalangan remisier, bertekad membangunk­an perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama Bumiputera yang ketika ini tidak memiliki ruang untuk berkembang kerana pelbagai isu, termasuk keupayaan pengeluara­n dan kewangan.

Katanya, menerusi Unclezam Frozen, beliau mahu mewujudkan peluang menjadi usahawan, terutama suri rumah yang memiliki hasrat untuk berniaga dengan modal serendah RM6,900 dengan setiap produknya dijual pada harga RM13 hingga RM500.

Unclezam memasarkan pelbagai produk sejuk beku, iaitu petitpai abalone, ikan patin masak tempoyak, puyuh pop, samosa Johor, karipap, gendang kasturi dan roti canai.

Cari ejen produk

“Kita sedang mencari ejen untuk kembangkan perniagaan ini yang mana kami menawarkan pakej lengkap e-francais RM6,900 merangkumi bekalan produk sejuk beku; penyejuk beku dan laman web khas untuk ejen.

“Dengan modal serendah itu juga, kami beri kad perniagaan, risalah dan kain rentang berjumlah 1,000 keping, selain keuntungan hingga 20 peratus daripada setiap produk yang dijual,” jelasnya.

Unclezam Frozen yang kini memiliki 24 pusat penghantar­an atau stokis di seluruh negara juga bercadang mengembang­kan perniagaan itu ke beberapa negeri, termasuk Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis dalam masa terdekat.

Produk berpotensi tinggi

“Saya lihat industri produk sejuk beku memiliki potensi untuk berkembang pesat sejajar dengan perkembang­an gaya hidup terkini yang ingin sentiasa bergerak pantas.

“Jadi, peluang sudah terhidang dan hanya menunggu untuk disambar. Saya mahu mengembang­kan Unclezam Frozen bersama usahawan Bumiputera lain,” katanya.

Mengenai perniagaan Zamsaham Hotel, Norizam berkata, hotel berkonsepk­an butik dengan ciri pasaran saham global, menawarkan kira-kira 30 bilik yang ditawarkan pada harga RM167 hingga RM250 semalam, termasuk sarapan pagi.

Hotel yang terletak bersebelah­an Lapangan Terbang Antarabang­sa Senai itu juga menawarkan bilik seminar yang mampu memuatkan 150 orang, selain menekankan pematuhan syariah dengan penyediaan surau berasingan untuk naskhah al-quran di setiap bilik.

“Saya mahu menjadikan keduadua perniagaan yang dimulakan dengan modal sendiri ini berlandask­an Islam, selain membantu mereka yang kurang berkemampu­an mendapat sedikit manfaat.

“Untuk Unclezam Frozen, sebahagian jualan akan disalurkan kepada mereka memerlukan, manakala Zamsaham Hotel pula menyediaka­n kemudahan kepada pelajar tahfiz secara percuma. Apa yang penting bagi saya, dalam mengejar saham dunia, saham akhirat juga jangan sesekali dilupakan,” tambah Norizam.

Ayun langkah pertama

Beliau berkata, cabaran dalam perniagaan yang disertai itu adalah bagi meyakinkan mereka yang berminat untuk berniaga memulakan langkah pertama.

“Dalam perniagaan ada pasang surut. Itu adalah lumrah. Cuma bagaimana kita menanganin­ya adalah perkara paling penting untuk memastikan segala yang dihajati tercapai,” katanya.

Norizam berkata, beliau dalam proses memasarkan produk air mineral dari Jepun, kicap dan aneka sos di pasaran Malaysia, termasuk mencapai angka 100 produk Unclezam Frozen selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Saya tetap dengan pekerjaan yang saya ceburi sejak dulu lagi iaitu remisier, malah pada masa sama mengembang­kan produk jenama Unclezam Frozen dan Zamsaham Hotel,” katanya.

 ??  ??
 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] ?? Hotel Zamsaham di Johor Bahru yang berkonsepk­an hotel butik.
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] Hotel Zamsaham di Johor Bahru yang berkonsepk­an hotel butik.
 ??  ?? Hotel Zamsaham menyediaka­n pelbagai kelengkapa­n untuk kemudahan tetamu yang menginap di sini.
Hotel Zamsaham menyediaka­n pelbagai kelengkapa­n untuk kemudahan tetamu yang menginap di sini.
 ??  ??
 ??  ?? Norizam menunjukka­n pelbagai produk keluaran syarikatny­a di Johor Bahru.
Norizam menunjukka­n pelbagai produk keluaran syarikatny­a di Johor Bahru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia