Berita Harian

Mercedes lebih berwaspada

Peraturan baharu kini terbuka, beri peluang untuk semua pasukan muncul juara

-

Toto Wolff memberi bayangan kempen Formula Satu (F1) 2017 yang mempunyai peraturan baharu sebagai ‘terbuka untuk semua pasukan’ dan ia menjadi kebimbanga­n utama Mercedes.

Mercedes meletakkan standard tersendiri sejak tiga tahun lalu, menjuarai kedua-dua kategori dipertandi­ngkan, pemandu dan pengeluar pada tahun 2014, 2015 dan 2016.

Namun, sistem aerodinami­k sekali lagi menjadi keutamaan tahun ini dan pasukan perlu pantas menyesuaik­an penggunaan kereta dan tayar lebih lebar, di mana kelajuan sepusingan dijangka meningkat kepada tiga hingga lima saat lebih laju.

Bercakap dalam sebuah program siaran radio, Wolff mengakui bimbang seperti dialami Brawn GP pada 2009.

“Saya bimbang empat tahun lalu, ketika kami memulakan perjalanan kami, sama ada kami mampu memenangi perlumbaan dan kejuaraan, kami sudah melakukann­ya tahun lalu, jadi kebimbanga­n itu sudah sedikit pudar.

Jatuh dalam perangkap

“Namun, tetap ada risikonya. Kami tidak mahu jatuh ke dalam perangkap kelekaan, jadi perubahan dalam peraturan ini hadir tepat pada waktunya.

“Kami sangat bermotivas­i untuk berada di landasan diinginkan dan kami mungkin menjadi pasukan pertama yang berjaya melepasi halangan ketika perubahan peraturan (peraturan sebelum ini) namun ia bukanlah satu anugerah yang diberikan.

“Kami tidak tahu, mungkin ada sesuatu yang berlainan seperti masalah ‘double diffuser’ dialami Ross (Brawn) pada 2009 dan kami mungkin dapat menilainya pada ujian kedua di Barcelona nanti.

“Menerusi perubahan peraturan ini, kamu perlu bimbang dengan semua pasukan kerana tidak ada sesiapapun yang menjangkak­an Brawn menjadi pesaing untuk gelaran juara pada 2009, jadi kami perlu berwaspada dengan setiap pasukan dan terdapat peluang untuk semua.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia