Berita Harian

Dollah macam tak percaya Pahang menang besar

- Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak menjangka skuadnya mampu mencatat kemenangan besar 6-1 ke atas Pulau Pinang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, misi utama skuad Tok Gajah adalah meraih kemenangan dan mengutip tiga mata di laman sendiri, dan menganggap kemenangan bergaya itu sebagai bonus buat penyokong setia mereka.

Katanya, momentum kemenangan terutama memanfaatk­an kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri adalah bukti persefaham­an antara pemain semakin baik.

“Apa yang penting, tiga mata diraih malam ini (malam tadi) kerana saya tidak jangkakan enam gol selepas mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

“Cuma pada babak kedua, saya katakan kepada pemain jika mereka mahu lebih (jaringkan gol), mereka perlu lakukannya dan ia menjadi.

Faktor kelekaan

“Apabila jaringan ketiga diperoleh, saya percaya akan ada tambahan gol dan hasilnya kami menang besar dalam perlawanan ini,” katanya.

Mengulas mengenai gol tunggal diperoleh Pulau Pinang, Dollah mengakui faktor kelekaan menyebabka­n anak buahnya gagal menyekat lawan daripada membolosi gawang.

Katanya, kesilapan itu tidak seharusnya berlaku jika semua pemain, terutama barisan pertahanan mengawal posisi mereka dengan baik.

“Tapi selepas ditegur, pemain memperkema­skan jentera pertahanan pada babak kedua, sekali gus menafikan tambahan jaringan oleh lawan.

“Apapun, saya gembira dengan keputusan ini. Selepas kekalahan kepada Kedah, mereka (pemain) kembali bangkit,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia