Berita Harian

600,000 PENCARUM KWSP PILIH SIMPANAN SYARIAH

Pengurus dana persaraan yakin jumlah bertambah apabila dividen, prestasi diumumkan

- Oleh Shahrizan Salian shahrizan_salian@bh.com.my

Lebih ramai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka beralih kepada Simpanan Syariah apabila dividen dan prestasi bagi skim persaraan patuh Syariah itu mula diumumkan kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata kumpulan pertama pencarum yang beralih kepada skim berkenaan pada tahun lalu adalah disebabkan ciri pelaburann­ya yang menepati syariat Islam.

“Namun, seperti yang saya katakan, menjelang 2017 dan 2018 apabila kami mula mengumumka­n prestasi bagi skim simpanan ini (Simpanan Syariah) dan juga dividennya, maka lebih ramai pencarum mungkin akan memilih untuk beralih,” katanya pada taklimat media dividen KWSP 2016 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, sambutan terhadap skim simpanan patuh Syariah itu setakat ini agak menggalakk­an apabila RM59 bilion daripada peruntukan awal RM100 bilion dana berkenaan sudah dimanfaatk­an oleh lebih 600,000 pencarum.

Tepati anggaran KWSP

Katanya, jumlah itu menepati anggaran awal KWSP yang menjangkak­an dana antara RM60 bilion hingga RM80 bilion akan digunakan untuk Simpanan Syariah.

“Sebagai persediaan jika terdapat permintaan lebih tinggi, kami menaikkan peruntukan awalnya kepada RM100 bilion,” katanya.

Shahril Ridza berkata, perbezaan paling ketara bagi Simpanan Syariah berbanding skim simpanan konvension­al sedia ada adalah pendedahan yang lebih minimum skim baharu itu terhadap sektor perbankan teras.

“Justeru, perbezaan besar boleh dilihat daripada (prestasi) sektor perbankan. Pada 2016 sebagai contoh, susut nilai yang tinggi berlaku di dalam sektor perbankan,” katanya.

Peruntuk RM50B 2018

Bagi Simpanan Syariah 2018, KWSP memperuntu­kkan RM50 bilion lagi tambahan dana kepada pencarum yang mahu bertukar kepada skim berkenaan.

Simpanan Syariah diperkenal­kan pada Ogos 2016 sebagai satu pilihan kepada pencarum yang mahu bertukar daripada simpanan konvension­al sekarang ini kepada simpanan yang diurus serta dilabur mengikut prinsip Syariah.

Pencarum yang berhasrat untuk beralih kepada Simpanan Syariah 2018 boleh berbuat demikian sebelum 24 Disember 2017.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? KWSP memperuntu­kkan tambahan dana RM50 bilion bagi Simpanan Syariah 2018 kepada pencarum yang mahu bertukar kepada skim berkenaan.
[FOTO HIASAN] KWSP memperuntu­kkan tambahan dana RM50 bilion bagi Simpanan Syariah 2018 kepada pencarum yang mahu bertukar kepada skim berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia