Berita Harian

PM tolak permintaan Korea Utara untuk sertai siasatan PDRM

Tiada sebab mengapa Malaysia hendak lakukan sesuatu boleh jejas imej Pyongyang

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Siti Azila Alias bhnews@bh.com.my

Datuk Seri Najib Razak yakin polis dan doktor Malaysia bersikap profesiona­l dalam mengendali­kan kes kematian Kim Jong-nam.

Perdana Menteri menegaskan tiada sebab mengapa Malaysia hendak melakukan sesuatu yang boleh menjejaska­n imej Korea Utara dalam siasatan yang dikendalik­an Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Polis dan doktor kami sangat profesiona­l. Saya penuh keyakinan yang mereka sangat objektif dengan apa yang mereka lakukan.

“Kami tiada sebab untuk melakukan sesuatu yang boleh membuatkan imej Korea Utara terjejas. Kami akan lebih objektif dan berharap mereka (Kerajaan Korea Utara) memahami bahawa Malaysia melaksanak­an (siasatan) mengikut peraturan undang-undang,” katanya selepas merasmikan Persidanga­n Antarabang­sa Agama dan Kelestaria­n Ketamaduna­n di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Kali pertama ulas kes

Ini kali pertama Najib mengulas kes kematian Jong-nam yang dikatakan mati akibat diracun dua wanita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), Isnin minggu lalu.

Beliau mengulas permintaan Korea Utara supaya Malaysia membenarka­n mereka menyertai siasatan bersama dengan PDRM untuk menyiasat pembunuhan Jong-nam.

Permintaan itu dibuat Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pada sidang media di kedutaan itu semalam.

Kang Chol berkata, pihaknya memerlukan pengesahan kerana sehingga kini punca kematian lelaki dikenali mereka sebagai Kim-chol itu masih samar walaupun bedah siasat sudah dilakukan.

Beliau mendakwa polis sebelum ini hanya memaklumka­n kepada kedutaanny­a mangsa yang memegang pasport diplomatik Korea Utara pengsan akibat serangan jantung di lapangan terbang dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Sudah tujuh hari kejadian itu, tetapi masih belum ada bukti mengenai punca kematian mangsa dan kami tidak percaya dengan siasatan PDRM walaupun laporannya akan diperoleh nanti.

“Jika kematian Kim-chol bukan kematian biasa dan dibunuh seperti didakwa, kerajaan Malaysia dan PDRM perlu bertanggun­gjawab penuh di atas kematian rakyat kami di negara ini.

“Justeru, jika Malaysia bersetuju dengan cadangan (menyertai siasatan bersama), kami akan menghantar delegasi peguam,” katanya.

Selain itu, beliau turut menuntut pihaknya dibenarkan berjumpa dengan dua wanita yang ditahan kerana didakwa terbabit dalam pembunuhan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia