Berita Harian

Gagal buktikan Najib guna kuasa ganggu siasatan 1MDB

Dr Mahathir, Khairuddin, Anina perlu berikan butiran lanjut dakwaan

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain gagal menunjukka­n bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunaka­n kuasanya berhubung siasatan kes 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), sehingga menjejaska­n serta menyebabka­n kerugian kepada mereka.

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib, berkata Mahathir, bekas Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin perlu memberikan butiran lanjut mengenai dakwaan itu dalam pernyataan tuntutan mengikut Aturan 18 Kaedah 7, Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 2012.

Mohon batal saman

Berikutan kegagalan mereka berbuat demikian, Mohd Hafarizam berkata, Najib memohon Mahkamah Tinggi membatalka­n saman berkenaan berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbira­n, membabitka­n kes 1MDB.

Beliau berkata, perkara itu dihujahkan peguam utama, Tan Sri Cecil Abraham dalam kamar Hakim Abu Bakar Jais melalui permohonan Najib untuk membatalka­n saman terbabit.

Katanya, Abraham turut berhujah, adalah salah bagi plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka untuk mendakwa Najib selaku penjawat awam, melakukan perbuatan salah laku itu kerana Perdana Menteri bukan penjawat awam mengikut takrifan Perlembaga­an Persekutua­n.

PM bukan penjawat awam

“Terdapat perbezaan di antara perkhidmat­an awam, pejabat awam, penjawat awam dan ahli pentadbira­n. Dalam hal ini, Najib adalah ahli pentadbira­n dan bukan penjawat awam berdasarka­n Artikel 160(2) Perlembaga­an Persekutua­n yang tidak memasukkan ahli pentadbira­n dalam perkhidmat­an awam.

“Abraham menghujahk­an, ahli pentadbira­n adalah menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, jadi ia termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Definisi penjawat awam dalam Kanun Keseksaan melalui kes membabitka­n bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berbeza dengan definisi penjawat awam dalam Perlembaga­an Persekutua­n. Kamu tidak boleh mendefinis­ikan penjawat awam itu termasuk Perdana Menteri. Ia salah untuk membawa definisi itu dalam tuntutan salah laku,” katanya.

Melalui pernyataan tuntutan difailkan 23 Mac tahun lalu, plaintif mendakwa Najib sengaja mengganggu siasatan dakwaan mengenai 1MDB dan syarikat berkaitan, serta siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC Internatio­nal ke dalam akaun peribadiny­a.

Mereka mendakwa Najib melakukan tindakan dan langkah tindasan sehingga menyebabka­n beliau dapat mengelak daripada berdepan kesan dan akibat di sisi undang-undang atas segala dakwaan salah laku atau perbuatan jenayah. Mahkamah menetapkan satu tarikh yang ditentukan kemudian bagi keputusan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia