Berita Harian

STAFOC kawal Institut Perubatan Forensik Negara

Pakar tidak temui bukti mangsa meninggal akibat serangan jantung

- Oleh Mohd Iskandar Ibrahim, Safeek Affendy Razali dan Siti Azila Alias

Bedah siasat ke atas mayat abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jongnam yang mati dibunuh, minggu lalu, tidak menemui sebarang kesan suntikan jarum atau kecederaan pada tubuhnya.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah selepas bedah siasat dilakukan pakar patologi di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 15 Februari lalu.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan itu juga tidak menemui bukti bahawa mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung seperti didakwa pihak kedutaan Korea Utara di Malaysia.

“HKL menerima mayat (Jongnam) pada jam 10 pagi 15 Februari lalu dan proses bedah siasat bermula pada jam 12.45 tengah hari serta selesai pada jam 6.45 petang hari sama. Ia dibuat mengikut Seksyen 331 Kanun Acara Jenayah dengan dihadiri pegawai penyiasat polis.

Tunggu laporan jabatan kimia

“Menerusi bedah siasat itu, kita memperoleh sampel cap jari, darah, maklumat forensik pergigian dan pelbagai spesimen lain, termasuk melakukan ujian tomografi berkompute­r (ujian imbasan) ke atas mayat bagi mengesahka­n identitiny­a,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kes kematian Jong-nam di Auditorium HKL, di sini, semalam. Yang turut hadir, Ketua Jabatan IPFN, Dr Mohd Shah Mahmud.

Noor Hisham berkata, punca sebenar kematian Jong-nam masih belum diketahui dan pihaknya sedang menunggu laporan Jabatan Kimia yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat dan akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Dalam sidang media itu, beliau turut menafikan pihaknya melakukan bedah siasat kedua seperti yang dilaporkan media antarabang­sa.

“Kita sudah menyerahka­n spesimen medikolega­l (perundanga­n perubatan) kepada pegawai penyiasat polis dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa. Pengendali­an mayat dilakukan dengan penuh rasa hormat mengikut peruntukan undang-undang bagi menjaga rantaian bukti,” katanya.

Noor Hisham juga mengesahka­n sehingga kini belum ada waris atau ahli keluarga mangsa yang hadir untuk menyerahka­n sampel asid deoksiribo­nukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan dan pengecaman mayat.

Perlukan sampel DNA

“Kita memerlukan sampel DNA daripada waris bagi mendapatka­n padanan saintifik sekali gus mengesahka­n hubungan mangsa dan ahli keluarga sebelum mayat boleh dituntut,” katanya.

Jong-nam dilaporkan meninggal dunia selepas diserang dua wanita di aras pelepasan Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Setakat ini, empat suspek, termasuk dua wanita sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematianny­a.

Dalam perkembang­an berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya tidak akan menghantar pegawainya ke luar negara bagi mendapatka­n sampel DNA daripada anak Jong-nam, Kim Han-sol, 21, atau ibunya.

Han-sol yang kini bersama ibunya di Macau dipercayai turut menerima ancaman bunuh.

Pengesahan Khalid itu sekali gus menafikan dakwaan media asing kononnya Han-sol, tiba di klia2 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, mengesahka­n bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan yang mendakwa keluarga suspek warga Korea, Ri Jong Chol, yang ditahan, Jumaat lalu, diugut atau dicederaka­n.

Dakwaan itu dibuat Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, di sini, kelmarin.

 ?? [ FOTO EPA ] ??
[ FOTO EPA ]
 ?? [FOTO AP] ?? Noor Hisham pada sidang media kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO AP] Noor Hisham pada sidang media kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia