Berita Harian

BEKAS KSU, ANAK TAK MENGAKU TERIMA SUAPAN

Dituduh bersubahat rasuah beri projek RM57.5 juta

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norrasyida­h Arshad bhnews@bh.com.my

Bekas Ketua Setiausaha Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anak lelakinya didakwa bersubahat dan menerima suapan dalam projek bekalan elektrik di Sabah bernilai RM57.5 juta.

Mohd Arif, 60, dan Ahmad Zukhairi, 35, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah dan kelihatan tenang ketika jurubahasa Mahkamah Sesyen, membacakan pertuduhan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi, semalam.

Mohd Arif sesekali kelihatan mengusap belakang badan anaknya sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, Mohd Arif sebagai Ketua Setiausaha KKLW ketika itu didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhairi, menerima suapan wang tunai S$200,000 (RM550,000 berdasarka­n pertukaran mata wang ketika itu) daripada Pengarah Syarikat Wazlina Sdn Bhd, Mohd Safian Mohd Salleh.

Ia adalah sebagai upah bagi diri dan anaknya untuk melakukan satu transaksi membabitka­n kementeria­n itu, iaitu KKLW memberi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di empat pulau terpencil di Sandakan Sabah secara rundingan terus (Reka dan Bina) bernilai RM57.5 juta kepada syarikat Eramaz Sdn Bhd.

Ahmad Zukhairi pula didakwa menerima suapan membabitka­n jumlah sama, daripada Mohd Safian membabitka­n projek sama.

Jaminan RM1 juta

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah (SPRM), A S Thangavelu menawarkan jaminan RM1 juta kepada setiap tertuduh dan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanap­un peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin memohon jumlah itu dikurangka­n kepada RM100,000 bagi keduadua anak guamnya berikutan harta dan wang tunai milik mereka disita SPRM.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Azura membenarka­n kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM200,000 dengan tanah mereka di Subang Jaya, Selangor sebagai cagaran dan menetapkan sebutan kes pada 20 Mac depan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Ahmad Zukhairi mengaku tidak bersalah meminta daripada Mohd Safian yang juga seorang kontraktor, wang suapan RM1.2 juta bagi membantu Eramaz mendapatka­n projek terbabit, di Dorsett Grand Subang Hotel, antara jam 5 petang dan 9 malam, pada 17 Mac 2016.

Mengaku tak bersalah

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah menerima suapan berjumlah RM70,000 daripada Zul Fadli Rozi, sebagai upah melakukan transaksi bagi membantu Syarikat HH Global Constructi­on Sdn Bhd mendapat projek cadangan dan membina Dataran Rekreasi Tiga Aras serta kerja berkaitan di Persisiran Tasik Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Bagi tuduhan ketiga, dia mengaku tidak bersalah menerima wang RM50,000 daripada Zul Fadli, bagi tujuan sama, di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, pada September 2016.

Hakim Asmadi Hussin membenarka­n permohonan Thangavelu memindahka­n kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mahkamah turut mengguna pakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kepada tertuduh.

 ??  ??
 ?? [FOTO YAZIT RAZALI/BH] ?? Mohd Arif (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah.
[FOTO YAZIT RAZALI/BH] Mohd Arif (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia