Berita Harian

70 TAHUN BERTEMAN BASIKAL

Lelaki berusia 88 tahun kayuh 30km sehari

- Oleh Syaherah Mustafa bhkb@bh.com.my

Sejak 70 tahun lalu, basikal menjadi teman setia Zakaria Awang Noh kerana ke mana sahaja lelaki berusia 88 tahun ini perlu berurusan, dia lebih gemar berbasikal.

Bagi bapa kepada tiga anak, lapan cucu dan 10 cicit ini, pengangkut­an awam lain seperti bas sekadar pilihan kedua dan sangat jarang digunakan, kecuali jika terpaksa ke lokasi jauh dari rumahnya di Kampung Gual Periok, di sini.

Tidak hairanlah walaupun usianya kini hampir mencecah sembilan dekad, Zakaria masih cergas dan tidak menghidap sebarang penyakit, kecuali masalah pendengara­n.

Sejak 20 tahun lalu, warga emas itu berbasikal purata 30 kilometer (km) setiap hari, mencari kotak dan surat khabar lama yang kemudian dijual sebagai sumber pendapatan­nya.

“Berbasikal sudah jadi rutin harian saya sejak usia 18 tahun lagi, sama ada untuk bekerja atau ke mana sahaja yang saya mampu kayuh hingga ke lokasi yang dituju,” katanya yang mengakui tidak pandai menunggang motosikal dan memandu kereta.

Ada ketika, Zakaria terpaksa menggunaka­n pengangkut­an awam seperti bas dan kereta sewa jika perlu ke lokasi yang jauh, itupun jarang sekali.

Keluar peluh setiap hari

“Bukan tak mampu beli motosikal, cuma saya lebih selesa dan berasa sihat berbasikal kerana dapat mengeluark­an peluh setiap hari. Alhamdulil­lah, saya tak ada sebarang penyakit setakat ini walaupun sudah berusia kecuali masalah pendengara­n.

“Malah, sepanjang berbasikal, saya tak pernah dilanggar atau kemalangan teruk kecuali terjatuh akibat kecuaian sendiri. Memang saya sentiasa berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Dalam tempoh 70 tahun juga, katanya, hanya lima kali dia terpaksa menukar basikalnya yang rosak.

“Ada antara basikal saya sudah berusia lebih 20 tahun, tetapi masih boleh digunakan,” katanya.

 ??  ??
 ?? [FOTO SYAHERAH MUSTAFA/BH] ?? Zakaria mengakui lebih selesa berbasikal untuk ke mana sahaja.
[FOTO SYAHERAH MUSTAFA/BH] Zakaria mengakui lebih selesa berbasikal untuk ke mana sahaja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia