Berita Harian

Wartawan wanita mencurigak­an berlegar di IPFN

-

Kuala Lumpur: Sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dikerah berkawal di sekitar Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk memantau keselamata­n, mulai awal pagi semalam.

Kehadiran mereka sebagai langkah keselamata­n selepas polis menerima laporan HKL, mendakwa terlihat seorang lelaki dan wanita berlegar di dalam kawasan berhampira­n IPFN dalam keadaan mencurigak­an.

Lebih 10 pegawai dan anggota pasukan itu yang lengkap memakai uniform dan bersenjata dilihat memasuki pekarangan IPFN dengan menaiki empat kenderaan pacuan empat roda, kira-kira jam 1.40 pagi.

Difahamkan, wanita itu yang juga wartawan media Korea Utara berlegar-legar bersama seorang lagi wartawan lelaki dari Korea Broadcasti­ng System (KBS) di bahagian belakang IPFN.

Mereka dilihat pihak keselamata­n HKL pada jam 9.56 malam selepas didapati berada dalam keadaan mencurigak­an sebelum memaklumka­n kejadian itu kepada polis.

Pemberita lelaki ditahan

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata bertindak atas maklumat itu polis menahan wartawan lelaki berasal dari Korea Selatan pada jam 1.40 pagi di hadapan IPFN.

“Hasil maklumat yang diterima, kami menahan lelaki itu dan merakam percakapan­nya hampir dua jam. Pemeriksaa­n mendapati dia ada pas media yang sah.

“Selepas selesai siasatan, dia dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, polis masih mencari wartawan wanita itu bagi membantu siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia