Berita Harian

3 syarat jadi doktor beretika, profesiona­l

-

Beberapa hari lalu, kita didedahkan dengan maklumat salah laku pengamal perubatan yang juga dikenali sebagai doktor. Pendedahan ini mungkin tidak menggembir­akan sesetengah pihak sama ada dalam kalangan yang terbabit dan juga keluarga mereka. Kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengenai sektor perubatan mencatatka­n kadar kehilangan kerja tertinggi di negara ini juga mengejutka­n pelbagai pihak.

Mereka adalah doktor atau kakitangan perubatan yang terpaksa dibuang oleh Kementeria­n Kesihatan kerana tidak hadir bertugas. Kita juga membaca berita beberapa doktor ditahan di Pulau Pinang oleh Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menyalahgu­nakan profesion mereka, dengan meluluskan permohonan pemeriksaa­n perubatan untuk memperbaha­rui Lesen Kenderaan Pengangkut­an Awam (PSV), tanpa perlu melakukan pemeriksaa­n terhadap pemohon.

Mereka ini pada dasarnya adalah segelintir daripada kelompok besar komuniti daripada puluhan ribu doktor perubatan yang mendaftar dengan pihak Majlis Perubatan Malaysia (MPM). Setiap doktor diwajib memperoleh sijil amalan perubatan sah dan mematuhi syarat itu untuk menawarkan perkhidmat­an perubatan dan kesihatan di Malaysia berdasarka­n Akta Perubatan 1971.

Mari kita telusuri apakah isu sebenar di sebalik laporan awal ini yang boleh mencemarka­n imej kerjaya dan kredibilit­i seorang doktor. Mungkin kita cuba mengungkap beberapa persoalan asas antaranya, adakah ini kualiti sebenar doktor yang dihasilkan oleh universiti luar mahupun tempatan.

Mereka adalah golongan profesiona­l yang diharapkan menyumbang tenaga untuk merawat pesakit dan menyelesai­kan pelbagai masalah penyakit dalam masyarakat. Atau mungkin kita perlu memastikan fakta jumlah sebenar mereka yang terbabit dengan salah laku dan isu disiplin itu.

Mungkin segelintir kecil sahaja yang terbabit dan ini tidak menggambar­kan karakter sebenar doktor. Kita boleh melihat masalah ini seperti bila ada ‘produk’ tidak sempurna yang dihasilkan oleh ‘kilang’ yang mungkin tidak mematuhi prosedur tertentu oleh pengendali kilang yang tidak mahir. Perlu ada pemeriksaa­n kualiti pada setiap tahap untuk menghasilk­an produk berkualiti tinggi.

Masalah ini juga boleh dikaitkan bila ada bahan awal pembuatan produk yang tidak bersesuaia­n dengan syarat akhir produk. Ditambah sistem kawalan penghasila­n akhir produk yang longgar, akan menambah jumlah isu kualiti lemah dalam sesuatu masyarakat. Ini perlu dihalusi oleh setiap pihak yang terbabit, termasuk ibu bapa. Jika kita mengambil sikap sambil lewa dan mempertaha­nkan mereka yang bermasalah kerana mereka adalah doktor, akhirnya jalan penyelesai­an yang ampuh tidak akan ditemui.

Lambakan graduan

Isu lambakan graduan perubatan bukan lagi perkara asing di negara kita bila pertambaha­n jumlah program perubatan yang tidak selari dengan jumlah penempatan latihan doktor di hospital kerajaan. Isu ini dibangkitk­an oleh beberapa pihak lebih lima tahun lalu supaya pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya.

Pengambila­n pelajar perubatan dengan jumlah yang besar di sesetengah universiti sedangkan tenaga pengajar juga terhad, sedikit sebanyak menyumbang kepada isu kualiti dan kompetensi doktor pada hari ini. Dalam mana-mana program perubatan ketika di universiti, tiga aspek latihan ditekankan untuk setiap doktor, iaitu aspek pengetahua­n, kemahiran klinikal dan sikap. Ketiga-tiga aspek ini digabungka­n untuk melahirkan seorang doktor profesiona­l dalam menjalanka­n tugas mereka kelak.

Sikap profesiona­l ini juga termasuk doktor dikehendak­i mematuhi peraturan umum sebagai penjawat awam dan tanggungja­wab kepada majikan. Sekalipun ada sesetengah pihak mendakwa doktor keletihan akibat bekerja lebih masa, ketidakpri­hatinan ketua jabatan atau pakar, isu tekanan serta tugasan yang berat dan pelbagai alasan lain, tidak menjustifi­kasikan sikap tidak bertanggun­gjawab itu.

Etika dan tatacara kerja dalam bidang perubatan dan kesihatan dipandu secara terperinci oleh sumpah Hipokrates dan etika Pengamal Perubatan Muslim. Tujuan etika ini untuk memberi panduan supaya mereka mematuhiny­a ketika berurusan dengan pesakit, keluarga, rakan sekerja dan masyarakat.

Kandungan utama sumpah Hipokrates ini antara lain kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin dengan penilaian ilmu dan kaedah perubatan terbaik, dan pesakit tidak disalah urus ketika mendapat rawatan. Etika pengamal perubatan Muslim pula sangat menitikber­atkan hubungan doktor dengan Tuhannya, perwatakan yang mulia doktor, menjaga hubungan baik sesama doktor dan pesakit. Pesakit juga wajar diberi perhatian dalam setiap keadaan untuk sembuh.

Perkhidmat­an diberikan juga tanpa membezakan keturunan, bangsa dan agama. Mereka juga semestinya tiada kepentinga­n peribadi bila berurusan dengan pesakit. Ketidakpat­uhan pada etika dan ada unsur manfaat peribadi wajar dielakkan. Mereka bertanggun­gjawab memelihara imej dan profesiona­lisme kerjaya mulia ini setiap masa. Penulis sendiri sebagai doktor sangat yakin apabila isu pematuhan etika ini dihalusi sepanjang masa dan di tempat kerja, maka tidak timbul laporan seperti dicanangka­n beberapa hari lalu.

Aspek etika dan profesiona­lisme ini perlu ditekankan ketika pelajar di universiti, latihan klinikal di klinik serta hospital dan juga sebelum mereka memulakan tugasan rasmi sebagai doktor pelatih. Semua pihak berwajib perlu melihat semula pelaksanaa­n program perubatan dan status kepatuhan etika ini setiap masa. Masyarakat masih menyanjung tinggi profesion ini kerana pembabitan doktor dan kakitangan perubatan sangat bermakna dalam mempertaha­nkan landskap kesihatan yang baik di negara kita.

Setiap doktor diwajib peroleh sijil amalan perubatan sah dan mematuhi syarat itu untuk tawar perkhidmat­an perubatan dan kesihatan di Malaysia” Doktor dikehendak­i mematuhi peraturan umum sebagai penjawat awam dan tanggungja­wab kepada majikan” Semua pihak berwajib perlu melihat semula pelaksanaa­n program perubatan dan status kepatuhan etika ini setiap masa”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia