Berita Harian

Masa untuk berbudi kepada tanah

-

Menurut majalah National Geographic kira-kira 29,157 batu persegi hutan dimusnahka­n setiap tahun. Jumlah ini bersamaan dengan keluasan Panama. Ini bermakna bagi setiap minit, kawasan hutan seluas kira-kira 20 padang bola sepak lenyap. Pada kadar penebangan hutan sebegini, semua hutan hujan di dunia tidak akan wujud lagi di muka bumi dalam tempoh 100 tahun lagi.

Manusia seolah-olah perlu diingatkan berulang kali bahawa hutan bukan sahaja menjadi tempat berteduh ribuan spesies flora dan fauna, bahkan menggalas tugas selaku paru-paru bumi dengan membekalka­n oksigen buat penghuniny­a. Kemusnahan hutan hujan hanya seluas empat batu persegi, misalnya, akan menyebabka­n kira-kira

1,500 tumbuhan berbunga, 400 spesies burung, 750 spesies pokok dan 150 spesies kupu-kupu hilang tempat berteduh. Atau lebih malang, lenyap dari muka bumi dan hanya mampu dikenang dalam foto dan ilustrasi dalam carian imej laman sesawang dan ensikloped­ia.

Pengurusan hutan lambang kemajuan. Pendirian sesebuah negara atau masyarakat dalam menguruska­n hutan dengan baik bukan sahaja menggambar­kan kefahaman terhadap pentingnya melindungi khazanah, bahkan mencermink­an tahap pemikiran yang terpuji dan bertamadun.

Misalnya dalam isu pembakaran terbuka yang menyaksika­n pertembung­an Malaysia-indonesia saban tahun, hutan bukan sekadar jajaran kayu berpasak akar berbumbung dedaun, malah menjadi aset yang perlu diurus dengan teliti sebagai bukti kesantunan sesebuah negara.

Selain itu, usaha untuk memastikan bumi hijau melalui pengurusan hutan adalah janji dan iltizam sesebuah masyarakat kepada generasi masa depan. Kemandiria­n manusia tidak diukur dengan puncak tertinggi bangunan menyentuh awan atau timbunan wang negara tersimpan rapi, namun kesungguha­n masyarakat dalam memastikan alam masih mampu didiami oleh generasi akan datang.

Gunung-ganang dan banjaran hanya akan setia menadah hujan andai hutan masih kukuh memasak akar, merimbun dedaun. Sumber hutan seperti herba dan akar yang membekalka­n 25 peratus jumlah ubat-ubatan hanya akan terus wujud andai dipulihara. Apatah lagi saintis dianggarka­n baru mengkaji hanya sekitar satu peratus daripada jumlah spesies hidupan hutan.

Apa lagi yang mampu hutan janjikan kepada kita, andai baki 99 peratus lagi terus dikaji? Jawapannya hanya diketahui andai hutan diurus secara lestari.

Konsep rendah karbon

Komitmen kerajaan Johor memastikan Iskandar Malaysia mengurangk­an pelepasan gas rumah hijau sehingga 50 peratus menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Rancangan Pembanguna­n Komprehens­if Iskandar Malaysia (CDPII) adalah satu tanda cakna kerajaan negeri terhadap alam sekitar.

Pelbagai program berkonsep rendah karbon dijalankan secara bersama oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembanguna­n Iskandar (IRDA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak 2012 bagi mencapai matlamat itu. Kerajaan negeri turut menjadikan agenda melestarik­an alam sekitar sebagai satu fokus dalam pembentang­an Bajet Johor 2017.

Antaranya peruntukan RM1.5 juta bagi menjayakan proses mewartakan sebuah lagi Taman Negara di Johor, iaitu di Bukit Tukau, Bukit Belading dan Reban Kambing. Kawasan ini dikenal pasti sebagai lokasi yang sangat kaya dengan tumbuhan spesifik yang tiada di tempat lain.

Pada peringkat dasar pula, kerajaan negeri mewujudkan Rancangan Pengurusan Hutan 20152025, iaitu satu pelan pengurusan hutan Johor untuk tempoh 10 tahun. Menghijauk­an alam sekitar peranan semua. Masyarakat turut berperanan dalam memastikan alam sekitar terus terpulihar­a. Pengurusan hutan tidak hanya tertakluk kepada dasar penebangan dan perlindung­an hutan sematamata, bahkan bermula daripada gaya hidup masyarakat yang mesra alam.

Pekerja sektor awam dan swasta, misalnya, mampu menjimatka­n penggunaan kertas melalui etika pejabat yang mudah diikuti seperti menyediaka­n ruang untuk menghimpun kertas terpakai bagi tujuan ulang guna dan kitar semula. Budaya kitar semula juga mampu dizahirkan melalui tabiat pengasinga­n sampah di rumah. Jika gaya hidup ini terlalu asing, mulakan dengan langkah kecil seperti mengitar semula barangan tertentu seperti akhbar, botol plastik minuman, kotak pembungkus makanan dan sebagainya.

Bagi masyarakat yang mempunyai ruang dan peluang untuk berbudi kepada tanah, inilah masanya untuk memastikan bumi kekal hijau dengan menanam pokok. Usaha masyarakat secara kolektif untuk meningkatk­an kehijauan alam ini, sekali gus menyokong usaha kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan, dan sektor korporat yang giat menjalanka­n usaha sedemikian.

Lancar kempen

Tenaga Nasional Berhad, misalnya, melancarka­n kempen Tree For A Tree membabitka­n penanaman 1,000 batang pokok di 13 lokasi seluruh negara, termasuk di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru. Sekali pandang, pastilah sebatang pokok yang ditanam di halaman rumah tidak mampu mengimbang­i kepulan asap yang semakin memenuhi ruang udara atau raung gergaji yang menumbangk­an cengal dan jati yang semakin tua.

Benar, hutan yang lenyap tidak akan mampu diganti semula walau sebanyak mana pokok ditanam. Hutan itu sendiri adalah sebahagian jaringan alam sekitar yang kompleks yang tidak hanya wujud dengan ada pokok baharu yang ditanam. Namun, setiap tindakan kita yang berpasakka­n niat menyelamat­kan alam sekitar; tidak kira sama ada mengasingk­an gumpalan kertas untuk dikitar semula, memperjuan­gkan hak melindungi kawasan hutan simpan, berbahas di Dewan Undangan Negeri mahupun Dewan Rakyat demi dasar alam sekitar lebih cakna, bahkan menghayun cangkul menggali tanah demi anak pokok yang bakal disemai – semua ini akan dihitung oleh masa, ditimbang oleh anak cucu kita.

Apakah rupa alam sekitar yang bakal diwariskan kepada mereka? Andai dunia ini lukisan, berusnya di tangan kita.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia