Berita Harian

Polis siasat MAHB kes penyebaran video rakaman

-

Kuala Lumpur: Polis akan menjalanka­n siasatan terhadap Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berhubung penyebaran video rakaman pembunuhan Kim Jong-nam yang disebarkan oleh media asing, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pengawasan dan kawalan keselamata­n Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) adalah di bawah pengurusan dan tanggungja­wab MAHB.

“PDRM tidak terbabit dalam penyebaran video itu kerana pengurusan klia2 adalah di bawah MAHB. Justeru itu, polis akan menyiasat siapa yang edar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis serah-terima tugas Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini, semalam.

Video milik MAHB

Nur Jazlan berkata, video dan rakaman di klia2, adalah milik MAHB yang diselia syarikat terbabit dan polis hanya membantu dalam memastikan keselamata­n di sana.

“Selain itu polis bantuan yang mendapat latihan PDRM dan ditugaskan menjaga persekitar­an di klia2 juga di bawah MAHB dan bukan PDRM,” katanya.

Sementara itu, MAHB sudah memulakan siasatan dalaman bagi melihat sama ada kakitangan­nya terbabit dalam penyebaran rakaman CCTV berhubung pembunuhan Jong-nam itu.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebaik saja rakaman berkenaan disiarkan sebuah stesen televisyen asing, sebelum ia viral di internet.

Badlisham berkata, berdasarka­n rakaman itu, beliau percaya ia bukan salinan CCTV yang asal kerana kelihatan berkualiti rendah berikutan ada gegaran pada rakaman, selain ada sebahagian­nya yang kelihatan kabur.

“Kita hanya menyerahka­n salinan asal itu kepada polis bagi tujuan siasatan (kes pembunuhan Jong-nam). Kita mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana kes ini sensitif.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia