Berita Harian

Sanggup hutang demi hidup bergaya

Permintaan tinggi orang ramai galak peniaga tawar skim pinjaman

- Oleh Wartawan BH

Seorang ahli akademik berkaitan kepengguna­an percaya lebih banyak skim pinjaman ala along dijangka diwujudkan peniaga ke atas masyarakat di negara ini yang dilihat gemar menjalani gaya hidup moden dengan berhutang.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Manusia dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata ketika ini, tiga ben- tuk hutang yang lazim dibuat oleh peminjam yang mahu hidup bergaya ialah hutang sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan.

Katanya, oleh kerana ketiga-tiga hutang itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat, tidak mustahil skim pinjaman perumahan ala along pula akan ditawarkan, pada masa depan.

“Ia tidak mustahil berikutan skim pinjaman segera semakin mendapat permintaan kebelakang­an ini. Inilah masalahnya yang sering melanda masyarakat kita. Kalau tidak mampu memiliki sesuatu dalam hidup, usahlah membebanka­n diri dengan meminjam dan berhutang yang akhirnya menjerat diri sendiri.

Senang berasaskan hutang

“Dalam masyarakat kita, memang terdapat mereka yang suka meminjam wang, gemar hidup bergaya lebih daripada kemampuan serta berbelanja lebih daripada pendapatan. Banyak orang kelihatan hidup senang walaupun pada hakikatnya kesenangan itu bera- saskan hutang,” katanya ketika dihubungi BH Plus.

Dr Mohamad Fazli berkata, secara umum individu yang mengalami masalah pengurusan kewangan dan pembayaran balik pinjaman adalah mereka yang berpendapa­tan RM36,000 hingga RM60,000 setahun.

Pinjam untuk tutup hutang

Katanya, antara permasalah­an kewangan dihadapi kumpulan itu adalah disebabkan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan kegagalan membuat pembayaran balik pinjaman perumahan serta kenderaan.

“Amalan kebiasaan yang dilakukan oleh kumpulan bermasalah dalam pengurusan kewangan ini adalah melakukan pinjaman daripada along atau skim pinjaman segera bagi menutup hutang dan memuaskan kehendak membeli barangan mewah,” katanya.

Beliau menasihatk­an supaya masyarakat lebih berhati-hati dengan tawaran ini yang boleh mengundang masalah.

“Keramahan dan perhatian mereka kepada bakal pelanggan hanya pada permulaan. Menanti selepas itu ialah derita kepada peminjam along. Kutipan semula wang hutang sangat tradisiona­l, kasar dan biadab kerana mereka tiada hak dalam undang-undang,” katanya.

 ??  ?? Keratan BH kelmarin.
Keratan BH kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia