Berita Harian

Polis dapat petunjuk baharu kes wanita kena tembak

-

Georgetown: Polis Pulau Pinang sudah mendapat beberapa petunjuk baharu berhubung kejadian tembakan membabitka­n seorang wanita di Jalan Bukit Gambir, berdekatan Taman Pekaka, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata pihaknya percaya beberapa petunjuk termasuk daripada saksi kejadian, akan membawa polis mengenal pasti suspek yang melakukan jenayah berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk kami membuat sebarang kesimpulan berhubung motif kejadian kerana masih menyiasat dari semua sudut termasuk jika mangsa mempunyai musuh.

Amaran sebar berita tidak sahih

“Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mudah percaya atau menyebarka­n berita tidak sahih mengenai jenayah berkenaan kerana ia mampu menggugat ketenteram­an awam,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpuna­n Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Pulau Pinang di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.45 petang itu, mangsa, Ruby Lee Poh Ai, 49, yang memandu kereta seorang diri dihampiri dua lelaki menunggang motosikal yang melepaskan lebih 10 das tembakan ke arahnya.

Mangsa yang juga dipercayai seorang ahli perniagaan dalam bidang logistik perkapalan ditembak dari arah cermin sisi pemandu dan mengenai kepala serta anggota badannya.

Ghee Lye berkata, suspek dipercayai menggunaka­n pistol jenis automatik berikutan penemuan sejumlah kelongsong peluru jenis 99m di kawasan kejadian.

Katanya, polis juga masih menyiasat jika kejadian itu mempunyai kaitan kumpulan kongsi gelap berikutan suami mangsa memiliki perniagaan pusat hiburan di Pulau Pinang.

Beliau turut menafikan mangsa sedang hamil seperti disebarkan di media sosial.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia