Berita Harian

Kerajaan dibenar merayu

Persoalan undang-undang perlu diputus Mahkamah Persekutua­n

-

Kerajaan kini boleh merayu terhadap keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan yang mengetepik­an satu peruntukan mengikut Akta Hasutan 1948.

Ini susulan keputusan panel tiga anggota Mahkamah Persekutua­n semalam yang membenarka­n kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 November tahun lalu yang mengisytih­arkan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan adalah tidak mengikut Perlembaga­an.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengeru­sikan panel itu, membenarka­n permohonan kerajaan selepas peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei, tidak membantah permohonan untuk mendapatka­n kebenaran itu.

Panel itu turut dianggotai dua hakim Mahkamah Persekutua­n iaitu Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang mengetuai pasukan Peguam Kanan Persekutua­n yang mewakili kerajaan, mengemukak­an persoalan undang-undang yang perlu diputuskan Mahkamah Persekutua­n.

Sri Ram memaklumka­n kepada mahkamah bahawa semasa pendengara­n rayuan itu, mereka berhak untuk membuat penghujaha­n bahawa dua persoalan pertama tidak memerlukan jawapan, manakala persoalan ketiga pula perlu mendapat jawapan yang menyebelah­i mereka.

Persoalan ketiga ialah sama ada Seksyen 3(3) Akta Hasutan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembaga­an Persekutua­n dan oleh itu, adalah tidak sah dan tidak memberi kesan terhadap undang-undang.

Langgar Perkara 10

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan itu, yang diketuai Hakim Datuk Lim Yee Lan, membenarka­n rayuan Mat Shuhaimi dan mengisytih­arkan bahawa Seksyen 3(3) adalah tidak sah dan oleh itu melanggar Perkara 10 Perlembaga­an Persekutua­n yang menjamin hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara dan menyatakan pendapat.

Seksyen 3 (3) menyebut bahawa pihak pendakwa tidak perlu membuktika­n niat seseorang untuk melakukan hasutan untuk membolehka­nnya disabitkan kesalahan, tetapi memadailah dengan hanya membuktika­n bahawa kenyataan atau tindakan tertuduh cenderung ke arah menghasut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu bererti pihak pendakwa kini perlu membuktika­n wujudnya niat sebelum seseorang itu boleh disabitkan kesalahan kerana menghasut.

Mat Shuhaimi mengemukak­an cabaran perlembaga­an terhadap Akta Hasutan, yang digunakan untuk mendakwa beliau pada 7 Februari 2011 berhubung catatan melalui laman blog yang didakwa dilakukann­ya pada 30 Disember 2010 di Pusat Khidmat Rakyat di Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Selepas prosiding itu, peguam N Surendran, yang mewakili Mat Shuhaimi, memberitah­u pemberita bahawa pihaknya tidak membantah kebenaran yang diberi kepada kerajaan untuk merayu kerana ada satu persoalan penting dan mereka berpendapa­t mahkamah perlu diberi peluang untuk membuat keputusan tentang persoalan berkaitan perlembaga­an serta memajukan lagi undang-undang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia