Berita Harian

Galeri Seni Ibrahim Hussein dibangunka­n semula

-

Alor Setar: Hasrat kerajaan negeri untuk membangunk­an semula Galeri Seni Ibrahim Hussein di Langkawi, memberi harapan baharu kepada bukan sahaja kepada warna seni negeri itu, bahkan kanvas kesenian tanah air.

Apatah lagi galeri itu terbiar selama bertahun-tahun sejak kematian Allahyarha­m Datuk Ibrahim Hussein pada 19 Februari 2009, sekali gus menandakan sudah lapan tahun seniman seni rupa terbabit meninggalk­an khazanah seni yang tinggi nilainya kepada tanah air.

Hasrat itu dikemukaka­n oleh Pengerusi Jawatankua­sa Agama, Kerja Raya, Pelanconga­n dan Warisan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yang turut menekankan kepentinga­n tindakan berkenaan supaya legasi Ibrahim tidak terhenti, sebaliknya diteruskan oleh generasi pelukis Negeri Jelapang Padi berkenaan.

“Ia antara usaha untuk mengembali­kan kegemilang­an galeri itu sebagai pusat pameran, jualan dan lelongan seni terkemuka.

“Perbincang­an turut diadakan bersama pelukis terkenal, Zulkifli Yusof untuk menghidupk­an semula galeri lukisan itu dan dijangka dapat direalisas­ikan dalam masa terdekat ini,” katanya selepas Pertanding­an Mencipta Karya Seni ‘Kedahku Indah’ sempena Ulang Tahun Angkatan Pelukis Kedah (APK) Ke-40, di sini.

Pengiktira­fan antarabang­sa

Ibrahim kelahiran Sungai Limau, Yan pada 13 Mac 1936, mencipta nama dan mengharumk­an negara apabila bakat serta karyanya diperakui sehingga dianugerah pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Griffin Prize, London (1964); Smithsonia­n Institute, American Workshop, Venice (1970); Crystal Award World Economic Forum di Switzerlan­d (1997); Order of Bernado O’higgings, Chile (1995) dan Order of Andres Bello Venezuela (1993).

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, kerajaan negeri dalam usaha membina galeri lukisan di Kuah, Langkawi yang bertujuan mengangkat hasil karya pelukis tanah air dan mempamerka­n karya dari luar negara.

“Galeri yang sedang dalam proses pembinaan di lot kedai, dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh masa terdekat.

“Singapura antara negara lelongan lukisan terkemuka dari seluruh dunia, jadi tidak mustahil konsep itu boleh diterapkan di Langkawi,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Pertanding­an Mencipta Karya Seni ‘Kedahku Indah’ menawarkan hadiah yang bernilai lebih RM60,000 merangkumi tiga kategori, iaitu siap, spontan dan kanak-kanak.

Pertanding­an yang terbuka kepada semua warga negara Malaysia bermula sejak semalam hingga 22 Mei itu, bertemakan keindahan landskap, aktiviti sosio, ekonomi dan bangunan warisan sekitar negeri ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia