Berita Harian

KEMBAR SIAM MAHU JUMPA RAJA SALMAN

Ahmad dan Muhammad Rosli yang dipisahkan di Arab Saudi pada 2002 ingin ucap terima kasih

- Oleh Nadia Hamid

Pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli, yang mendapat perhatian dunia selepas berjaya dipisahkan oleh pasukan perubatan Hospital King Fahd National Guard, Riyadh, Arab Saudi, pada 2002, menyuaraka­n hasrat untuk berjumpa Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-saud.

Ahmad, 19, ketika ditemui BH, mengakui teruja dan tidak sabar untuk bersua muka dengan adik kepada Raja Abdullah, yang dijadualka­n tiba hari ini untuk lawatan rasmi empat hari ke negara ini.

Kos pembedahan RM1.7 juta untuk memisahkan Ahmad dan adiknya, Muhammad, yang berusia empat tahun kira-kira 15 tahun lalu, dibiayai Raja Abdullah yang ketika itu Putera Mahkota Arab Saudi.

“Tidak banyak yang kami ingat ketika berada di sana (Hospital King Fahd) tetapi saat sebelum ‘berpisah’, dapat kami rasakan sehingga hari ini... perasaan sedih, sayu dan kesakitan untuk sembuh.

Dapat ‘peluang hidup’

“Alhamdulil­lah, kami mendapat ‘peluang hidup’ kerana pembedahan berjaya. Kami pernah berjumpa Raja Abdullah pada 2007 dan kini berhasrat bersua muka dengan Raja Salman sebagai mengenang jasa (Raja Abdullah) memberikan ‘kehidupan’ kepada kami,” katanya.

Pasangan kembar itu yang menetap di Kampung Tengah, Puchong, berkata pertemuan pertama dan terakhir dengan Raja Abdullah turut disertai 20 pasangan kembar siam dari Sweden, Finland, Filipina dan Iraq yang menjalani pembedahan pemisahan dibiayai Arab Saudi.

Sementara itu, Muhammad berkata, dia dan abangnya masih berhubung menerusi e-mel dan terkini, aplikasi Whatsapp dengan salah seorang jururawat lelaki, dikenali Naji yang bertugas merawat mereka ketika di Riyadh.

Malah, katanya, Naji melakukan kunjungan ‘kejutan’ beberapa tahun lalu apabila dia transit di ibu negara ketika dalam perjalanan dari Arab Saudi ke Australia.

“Kami terkejut apabila Naji sampai di hadapan rumah dengan teksi. Kami berpelukan, meluangkan masa selama sejam sebelum beliau pulang.

“Pertemuan itu meninggalk­an kesan dan terapi positif kepada kami, yang sentiasa merindui individu berjasa membantu kami,” katanya.

Bapa pasangan itu, Rosli Abdul Rahim, mengakui kedua-dua anaknya itu memiliki persamaan sehingga mengeliruk­an rakan yang memanggil mereka sebagai ‘Mad’.

Katanya, pasangan itu yang sedang belajar di Management & Science University (MSU), rapat tetapi ada kalanya berselisih faham kerana perbezaan minat ketara.

“Along (Ahmad) jarang keluar rumah tetapi Angah (Muhammad), pantang tengok Umi (ibu tiri mereka, Junaidah Awang) mereka naik kereta akan ikut sama.

“Jadi apabila berpisah, mereka akan saling merindui seperti ‘rugi Along tak ikut, bosan Along tak ada’,” katanya.

Ibu kandung pasangan kembar berkenaan, Asiah Kanda, meninggal dunia pada 2011 akibat penyakit barah payudara.

Rosli berkata, Ahmad suka menyendiri dan berada di surau MSU ketika belajar kerana dikurniaka­n kelebihan luar biasa iaitu keupayaan melihat dan berinterak­si dengan dunia mistik.

Cemerlang dalam pelajaran

Bagaimanap­un, perkara berkenaan tidak merisaukan beliau kerana kedua-dua anaknya cemerlang dalam pelajaran, menjalani aktiviti harian selesa seperti remaja lain dengan bantuan kerusi roda.

Rosli yang bekerja membuat kimpalan kecil-kecilan, berikrar sanggup melakukan apa saja untuk memastikan kebajikan dua anaknya dipenuhi sampai akhir hayatnya walaupun ada kalanya sukar memenuhi permintaan mereka kerana pendapatan tidak menentu.

“Saya akan lakukan apa sahaja asalkan mereka gembira. Ada kawan pernah bertanya mengenainy­a, saya jawab tiada apa perlu dirisaukan kerana mereka amanah Allah kepada saya.

“Pengalaman paling sukar dilupakan adalah ketika menunggu pasangan kembar ini dipisahkan, yang menentukan hidup atau mati mereka terpahat sebagai ‘detik paling mendebarka­n’. Terima kasih kepada Arabsaudi, ”katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? [FOTO ASYRAF HAMZAH/BH] ?? Ahmad Rosli (kanan) dan Muhammad Rosli melihat foto mereka sebelum dan selepas pembedahan yang dibiayai Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud ketika ditemui di kediaman mereka di Puchong, Selangor.
[FOTO ASYRAF HAMZAH/BH] Ahmad Rosli (kanan) dan Muhammad Rosli melihat foto mereka sebelum dan selepas pembedahan yang dibiayai Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud ketika ditemui di kediaman mereka di Puchong, Selangor.
 ??  ?? Foto Ahmad Rosli dan Muhammad Rosli bersama Raja Arab Saudi selepas pembedahan.
Foto Ahmad Rosli dan Muhammad Rosli bersama Raja Arab Saudi selepas pembedahan.
 ??  ?? Foto Ahmad Rosli dan Muhammad Rosli sebelum pembedahan.
Foto Ahmad Rosli dan Muhammad Rosli sebelum pembedahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia